Sekilas
- Abdur Rahman Amir Ruddin, yang kehilangan enam ahli keluarganya dalam kemalangan jalan raya dua tahun lalu, berkongsi permintaan menyunting gambar perkahwinannya bersama gambar keluarga arwah di platform Threads.
- Permintaan tersebut mendapat perhatian dan bantuan daripada warganet yang menyunting gambar tersebut, serta doa dan sokongan daripada netizen untuk kekuatan Abdur Rahman dan isterinya.
- Abdur Rahman selamat berkahwin pada Disember tahun lalu, dan tragedi kemalangan itu meragut nyawa ibu bapa serta empat adik-beradiknya, meninggalkan kesan mendalam kepada dua anak yang terselamat.
Selepas lebih sebulan mendirikan rumah tangga, Abdur Rahman Amir Ruddin, anak muda yang pernah tular selepas kehilangan enam ahli keluarganya dalam nahas jalan raya di Segamat dua tahun lalu, menyorot perhatian selepas pemintaannya di platform Threads mengundang rasa sebak netizen.
Menerusi satu hantaran yang dibuat, Abdur Rahman memuat naik dua foto berbeza memaparkan gambar perkahwinannya beserta gambar kenangan dirinya bersama kesemua ahli keluarga.
Di ruangan kapsyen, Abdur Rahman meminta bantuan agar kedua gambar tersebut untuk disunting bersama.
“Ada tak yang boleh tolong editkan arwah family saya semua tu ada dalam gambar wedding saya,” tulisnya.
Perkongsian tersebut nyata menyentuh hati ramai pihak dan pastinya permintaan itu direalisasikan beberapa warganet yang mempunyai kepakaran dalam menyunting gambar.
Menjengah ke ruangan komen, netizen turut mendoakan agar Abdur Rahman dan isterinya diberikan kekuatan serta ketabahan untuk meneruskan kehidupan.

Terdahulu, Abdur Rahman selamat bergelar suami kepada wanita pilihannya dalam satu majlis yang diadakan pada Disember tahun lalu.
Untuk rekod, tragedi kemalangan jalan raya yang berlaku di Johor sebelum ini telah meragut nyawa enam sekeluarga, sekali gus meninggalkan kesan mendalam buat dua anak yang terselamat, termasuk Abdur Rahman.
Sekadar info, Abdur Rahman kehilangan ibu bapanya, Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhammad, 43, serta empat adik-beradik iaitu Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan pada 1 September 2023.
Seorang lagi adiknya, Abdullah Amir Ruddin yang kini berusia 18 tahun terselamat selepas dilaporkan mengalami cedera parah.
Sumber: Threads Abdur Rahman