Skip to main content

Teknologi & Sains

Petrosains Tampilkan Penceritaan Sains Imersif dan Pengalaman Ikonik SkyXperience

Petrosains

Sekilas

  • Petrosains menganjurkan sesi libat urus media strategik untuk memperkukuh kerjasama dan memperluas peranan pendidikan serta penceritaan selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.
  • Rakan media dibawa merasai pengalaman interaktif di Petrosains dan PETRONAS Twin Towers SkyXperience, termasuk tarikan baru seperti Veloclimb dan Hello AI, serta Galeri Kelestarian.
  • Petrosains terus memperluas impak STEM ke seluruh negara melalui inisiatif seperti Tech4All, PlaySmart, dan Discovery Rover, khususnya untuk komuniti kurang mendapat akses dan Orang Asli.

Petrosains Sdn. Bhd. baru-baru ini menganjurkan satu sesi libat urus media strategik bertajuk ‘A Memorable Experience with Petrosains’.

Majlis itu telah menghimpunkan rakan media utama bagi memperkukuh kerjasama serta memperluas peranan ilmu, pendidikan dan penceritaan dalam membina naratif negara, selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Majlis itu juga menjadi satu detik bermakna buat Petrosains, bukan sekadar sebagai ruang penghargaan, malah sebagai usaha memperbaharui komitmen bersama rakan media yang memainkan peranan penting dalam mengangkat inisiatif berteraskan pendidikan menjadi kisah yang memberi impak kepada Masyarakat setempat di seluruh negara.

Menurut Pengarah Jabatan Hubungan Pihak Berkepentingan dan Komunikasi Petrosains, Puan Shamini Balan menekankan bahawa impak sebenar hanya dapat dicapai melalui kerjasama dan matlamat yang dikongsi bersama.

“Kesediaan anda yang hadir mencerminkan lebih daripada sekadar hubungan kerjasama. Ia melambangkan keyakinan bersama bahawa pendidikan, ilmu dan penceritaan mampu mencetuskan perubahan yang lebih baik.

“Setinggi-tinggi penghargaan kami ucapkan kepada rakan media atas sokongan berterusan anda. Komitmen anda telah membantu mengangkat program menjadi kisah, dan kisah ini menjadi inspirasi yang memberi kesan jauh melangkaui khalayak masyarakat,” katanya.

Seiring peredaran masa, Petrosains dan PETRONAS Twin Towers SkyXperience telah berkembang daripada sekadar tarikan pelawat kepada sebuah ekosistem dinamik yang menggabungkan pendidikan STEM dan pelancongan berasaskan pembelajaran.

Kedua-duanya terus menyokong aspirasi negara termasuk Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan menawarkan pengalaman yang imersif, mudah diakses dan menarik.

Sepanjang majlis itu, rakan media turut dibawa menyusuri pengalaman berpandu di Petrosains dan PETRONAS Twin Towers SkyXperience.

Pengalaman itu sekali gus meneroka penawaran terkini serta memahami dengan lebih mendalam kisah di sebalik salah satu mercu tanda paling ikonik negara.

Di Petrosains, antara tarikan utama yang terbaru termasuk Veloclimb di zon SPEED, iaitu pengalaman memanjat interaktif yang menggabungkan pergerakan fizikal dengan elemen digital.

Turut diketengahkan ialah Hello AI di zon Sparkz yang memperkenalkan asas kecerdasan buatan secara interaktif dan mudah difahami.

Rakan media juga berpeluang meneroka Galeri Kelestarian yang menampilkan zon seperti Ecofarm, Ecofood, Ecohome, Ecotransport, Ecopledges dan Ecohorizon, yang membolehkan pengunjung mendalami gaya hidup lestari termasuk aktiviti pertanian bandar dan penuaian hasil segar.

Pengalaman turut disertai dengan sesi jamuan eksklusif di Sky Café by Maja yang terletak di Aras 83 Menara Berkembar PETRONAS, yang baru-baru ini diiktiraf oleh Malaysian Book of Records.

Lebih daripada sekadar destinasi, keseluruhan pengalaman ini memperlihatkan gabungan penerokaan interaktif, penceritaan yang menarik serta panorama bandar yang memukau, mencerminkan kemajuan Malaysia dalam inovasi, penerokaan dan kecemerlangan.

PETRONAS Twin Towers SkyXperience turut mengukuhkan kedudukan globalnya apabila disenaraikan dalam World Federation of Great Towers, sekali gus memperkukuh pengiktirafan Malaysia dalam kalangan mercu tanda seni bina terkemuka dunia.

Di luar ruang fizikalnya, Petrosains terus memperluas impak ke seluruh negara menerusi inisiatif seperti Petrosains Tech4All, Petrosains PlaySmart dan Petrosains Discovery Rover.

Program-program ini menjangkaui Lembah Klang dengan menyantuni komuniti di Sabah, Sarawak, Johor dan Pahang, khususnya golongan kurang mendapat akses dan masyarakat Orang Asli, dengan membawa peluang pembelajaran STEM secara inklusif.

Petrosains PlaySmart berfungsi sebagai pusat satelit yang menyediakan ruang pembelajaran STEM berasaskan komuniti, membolehkan pelajar merasai pengalaman interaktif lebih dekat dengan tempat tinggal mereka.

Melengkapkan usaha ini, Petrosains Discovery Rover sebagai unit bergerak jangkauan STEM menjelajah ke kawasan luar bandar dan pedalaman, menyampaikan pengalaman sains secara langsung kepada sekolah dan komuniti.

Berlandaskan kepercayaan bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, inisiatif ini bertujuan merapatkan jurang pendidikan serta menyemai inspirasi dalam kalangan generasi masa depan tanpa mengira latar belakang atau lokasi.

Mengiktiraf peranan penting media dalam memperluaskan capaian usaha ini, sesi ini turut menjadi platform untuk merakamkan penghargaan kepada rakan media yang telah menyokong Petrosains selama hamper 3 dekad.

Menjelang pelbagai inisiatif akan datang sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Petrosains komited untuk terus bekerjasama rapat dengan rakan media dalam meningkatkan keterlihatan, memperkukuh penglibatan serta menyampaikan kisah berteraskan sains kepada khalayak yang lebih luas.

Sesi ini diakhiri dengan jemputan terbuka untuk meneruskan kerjasama, sekali gus memperkukuh peranan Petrosains sebagai pemangkin yang menghubungkan masyarakat, idea dan peluang melalui pengalaman yang mencetuskan rasa ingin tahu serta mengilhamkan perubahan.

Anda mungkin berminat dengan

Corolla Soft Pu Lightweight Women Shoes

Corolla Soft Pu Lightweight Women Shoes

Jifang Hot Sale Retro Vintage Tie-dye Colorful Painting Cotton Polyester Shawl Long Pashmina Shawl Head Scarf Shawls Muslim Hijabs Tudung FX01

Jifang Hot Sale Retro Vintage Tie-dye Colorful Painting Cotton Polyester Shawl Long Pashmina Shawl Head Scarf Shawls Muslim Hijabs Tudung FX01

XJ Mini Magnetic GPS Tracker

XJ Mini Magnetic GPS Tracker

DESSINI ITALY SPP-12-S 12 PCS Casserole Induction Die Cast Aluminium Non Stick Pot Bowl Deep Fry Pan Cookware PERIUK

DESSINI ITALY SPP-12-S 12 PCS Casserole Induction Die Cast Aluminium Non Stick Pot Bowl Deep Fry Pan Cookware PERIUK

Grace and Glow Daisy Hair Vitamin Mist - Hair Perfume Serum Volumizing Spray Anti Rambut Kusut with Keratin

Grace and Glow Daisy Hair Vitamin Mist - Hair Perfume Serum Volumizing Spray Anti Rambut Kusut with Keratin

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement