Sekilas
- Ariff Bahran masih menunggu bayaran balik RM425,000 daripada individu yang mengaku penganjur konsert tetapi gagal menunaikan janji.
- Wang tersebut penting untuk urusan perniagaan Ariff dan dia berharap tindakan tegas diambil supaya tiada mangsa lain.
- Insiden ini memberi kesan emosi kepada Ariff, namun dia bertekad untuk belajar dari pengalaman dan terus aktif dalam bidang penganjuran konsert.
Penyanyi, Ariff Bahran memberitahu dia masih menunggu individu yang mengaku sebagai penganjur konsert untuk membayar semula wangnya sebanyak RM425,000.
Ariff atau Mohammad Ariff Bahran Ahmad Azhari, 29, berharap tindakan tegas dapat diambil supaya tidak ada orang lain yang menjadi mangsa individu tersebut.
“Sehingga hari ini, individu terbabit masih berdiam diri. Dia ada menghantar mesej kononnya akan membuat pindahan wang keesokan hari, namun ditangguhkan berulang kali tanpa sebarang hasil.
“Saya juga sudah mendedahkan wajahnya di platform Threads. Orang ramai sudah mengetahui nama syarikat yang menipu saya. Mereka masih bebas di luar sana. Sama ada mereka mempunyai wang atau tidak, saya hanya mahukan hak saya dikembalikan.
“Saya amat berharap tindakan tegas dapat diambil supaya dia tidak terus berleluasa menipu orang lain,” katanya kepada Gempak.
Ariff berkata demikian ketika ditemui pada majlis Seloka Lebaran 2026 yang berlangsung di Courtyard by Marriott Kuala Lumpur, pada Isnin.
Jelas Ariff, wang tersebut amat diperlukan bagi menguruskan komitmen perniagaannya yang lain.
“Jumlah RM425,000 bukan kecil. Saya memerlukan wang itu untuk perniagaan lain. Kami sudah menunggu sejak bulan Ramadan hingga ke Hari Raya, namun masih tiada bayaran atau maklum balas,” katanya.
Dalam pada itu, Ariff mengakui insiden tersebut memberi kesan emosi dan menimbulkan trauma untuk kembali aktif dalam bidang penganjuran konsert, namun enggan mengalah.
“Saya perlu selesaikan kes ini terlebih dahulu. Saya juga sudah belajar daripada kesilapan. Jika saya menganjurkan konsert lagi selepas ini, perancangannya akan dibuat sepuluh kali lebih teliti.
“Saya berharap pihak berkuasa bertindak segera. RM425,000 itu bukan jumlah kecil, malah boleh dijadikan deposit membeli rumah banglo,” katanya.
Terdahulu, Ariff mendedahkan mengalami kerugian hampir setengah juta ringgit selepas dipercayai ditipu oleh pihak penganjur yang berjanji membawa masuk Sheila On 7 untuk mengadakan konsert di Malaysia.