Sekilas
- Dr Cardin lancar koleksi Lebaran 2026 bertemakan The Raya Table yang menggabungkan gaya hidup, fesyen, dan keselesaan dalam suasana intim Aidilfitri.
- Koleksi kali ini fokus kepada wanita dengan pelbagai beg dan kasut elegan serta praktikal, termasuk kasut tumit tinggi dan beg versi mini.
- Kempen Lebaran menampilkan Erisya Emira dan Hun Haqeem sebagai wajah utama, dengan koleksi boleh didapati secara dalam talian.
Menjelang Aidilfitri 2026, jenama tempatan Dr Cardin memperkenalkan koleksi lebaran terbaharu mereka menerusi sebuah acara bergaya hidup bertemakan The Raya Table.
Lebih daripada sekadar pelancaran koleksi, majlis ini meraikan persiapan raya melalui gabungan fesyen, keselesaan dan suasana yang intim, dengan Erisya Emira tampil sebagai salah satu wajah yang mencuri tumpuan.
Berikut lima perkara menarik yang diketengahkan menerusi koleksi Lebaran 2026 ini.

1. Konsep The Raya Table yang meraikan gaya hidup Aidilfitri
Dr Cardin memilih pendekatan yang lebih santai dan berkonsepkan gaya hidup dengan mempersembahkan koleksi lebaran dalam suasana yang menyerupai meja raya. Ia menjadi simbol pertemuan, kebersamaan dan persiapan menyambut Aidilfitri, menjadikan pengalaman acara lebih dekat dan bermakna.
2. Tumpuan utama kepada koleksi wanita
Untuk musim lebaran kali ini, Dr Cardin memberi fokus besar kepada keperluan wanita, merangkumi koleksi beg dan kasut yang direka khas untuk dipadankan dengan busana raya. Menurut Ketua Penjenamaan Dr Cardin, Chong Charl Yee, majoriti koleksi kali ini disasarkan kepada wanita yang sering menjadi perancang utama persiapan Aidilfitri.
“Untuk koleksi lebaran ini boleh dikatakan 80 peratus produk kami mengfokuskan kepada wanita. Kerana wanita lebih cenderung membeli untuk persiapan raya,” jelasnya.

3. Variasi beg dan kasut yang lebih elegan dan versatil
Antara yang mencuri perhatian ialah pengenalan koleksi kasut tumit tinggi dalam pelbagai rekaan dan warna, sesuai untuk kegunaan sepanjang musim perayaan. Koleksi beg pula tampil dalam empat siri berbeza iaitu Soraya, Nara, Dumpling Weave dan Araya. Bagi kasut wanita, koleksi seperti Dewy, Serene, Sera, Lush dan Lush Eve diperkenalkan, manakala koleksi lelaki merangkumi sandal Cove Air, Cove Core dan The Air Pillow Flow.
4. Keselesaan sebagai elemen teras rekaan
Selain rekaan yang kemas, Dr Cardin turut menitikberatkan keselesaan pemakai dengan menambah lapisan kusyen lembut pada bahagian tumit kasut. Koleksi beg pula hadir dengan versi ‘miniature’ bagi memudahkan penyimpanan barangan kecil, menjadikan setiap rekaan lebih praktikal untuk digunakan sepanjang hari raya.
“Keselesaan adalah kunci utama rekaan kami,” kongsinya, sambil menjelaskan setiap elemen direka bagi memudahkan pergerakan pemakai.

5. Erisya Emira dan Hun Haqeem sebagai wajah kempen Lebaran
Kempen Lebaran 2026 Dr Cardin menampilkan Erysha Emyra dan Hun Haqeem sebagai wajah utama. Pemilihan ini dibuat berdasarkan karakter mereka yang dekat dengan masyarakat serta keserasian yang pernah ditampilkan sebelum ini.
“Erysha ada pembawakan ‘girl next door’ yang sesuai dengan jenama kami. Hun pula bukan sahaja berkarisma, malah merendah diri. Gandingan mereka berdua sangat menepati identiti Dr Cardin,” ujarnya.
Acara The Raya Table turut diserikan dengan kehadiran figura terkenal seperti Syed Saddiq, Mimi Fly dan Azfar Heri bersama pempengaruh media sosial tempatan.

Kesemua koleksi Lebaran 2026 Dr Cardin boleh didapati menerusi platform dalam talian rasmi jenama tersebut.