Seorang pengguna sosial media yang dikenali sebagai humairahhsn_ meluahkan rasa kesal selepas berhadapan insiden melibatkan ibu kepada seorang murid di sekolah tempat dia mengajar.
Menerusi hantaran di platform Threads, individu tersebut akui terkejut selepas ibu kepada pelajar tersebut membuat aduan kepada pihak pentadbiran sekolah dengan mendakwa pihak guru tidak menjaga pemakanan anaknya.
"Semalam buat potluck. Dan this 'mak' complain dekat principal aku ni tak jaga pemakanan anak dia. "Faham lah aku yang bersalah sebab bagi dekat tangan anak dia," tulisnya.
Dalam hantaran tersebut, humairahhsn_ juga berkongsi tangkap layar perbualan antaranya dan ibu pelajar tersebut.
Apa yang mengejutkan, ibu pelajar tersebut meminta guru di sekolah menghalang ibu bapa lain untuk membawa makanan ringan untuk diberikan kepada pelajar.
Lebih mengecewakan, humairahhsn_ mendakwa ibu berkenaan sering menyalahkan dirinya atas kelemahan akademik anaknya.
Menurutnya, murid tersebut masih belum mampu membaca perkataan mudah serta lemah dalam kemahiran asas mengira walaupun pelbagai teknik pengajaran telah digunakan di dalam kelas.
"Anaknya 6 tahun. Banyak benda mak ini masih salahkan saya. Salahkan saya kerana anaknya masih tak pandai membaca / mengeja. Nak baca perkataan ' SAYA ' pun masih tak reti. Sedangkan anaknya cuma seminggu 2-3 kali datang ke sekolah.
"Nak mengira 1+10 masih tak pandai sedangkan pelbagai teknik saya dah ajar. Homework juga tak dibuat dan maknya masih salahkan saya homework banyak dan anaknya tak pandai buat sedangkan cuma 1-2 helai sahaja," tambahnya. 
Luahan tersebut mencetuskan perbincangan dalam kalangan warganet yang rata-rata bersimpati dengan nasib guru tersebut.
Gaya Hidup
Bagi Jajan Ketika Potluck, Guru Terkejut Ibu Murid Buat Aduan - “Mak Siapa Yang Bawakan Tu…”