Skip to main content

Hiburan

Anak-Anak Menangis Rindukan Arwah Bung Moktar, Zizie Izette Pilih Untuk Terus Kuat - “Saya Rindu Daddy…”

Zizie Izzete

Pelakon, Zizie Izette menyorot perhatian netizen selepas berkongsi luahan hati mengenai perasaan anak-anaknya yang masih bergelut dengan rasa rindu terhadap kehilangan bapa mereka, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar. 

Menerusi satu hantaran di Instagram Stories, Zizie menjelaskan perkongsian tersebut bukan untuk meraih simpati sebaliknya sekadar meluahkan apa yang sedang dilalui sebagai seorang ibu.

Menurut Zizie, detik-detik pilu itu bermula apabila dia terdengar anaknya, Aadam terjaga pada tengah malam dalam keadaan menangis perlahan.

“Saya tidak meminta simpati. Saya hanya berkongsi kerana saya seorang yang agak tertutup dan jarang bercakap tentang perasaan atau perkara yang sedang saya lalui. 

“Di tengah malam masa semua orang sedang tidur, saya terdengar esakan perlahan. Bila saya bertanya apa yang berlaku, dia kata sakit kepala. Tapi saya tahu, sebenarnya dia rindukan ayahnya,” luah Zizie.

Situasi sama berulang apabila seorang lagi anaknya, Aaleph, menangis dalam gelap dengan esakan yang tidak berhenti.

Beberapa hari kemudian, Zizie berkongsi satu lagi momen menyentuh perasaan melibatkan anak perempuannya, Aalisa.

“Saya pergi kepadanya, memeluknya erat dan apabila saya bertanya kenapa, dia berbisik, ‘Saya rindu daddy,’ lalu menangis tanpa dapat ditenangkan,” katanya.

“Aalisa sedang berlatih menyanyikan lagu Count On Me di sekolah apabila tiba-tiba dia menangis. Gurunya perasan dia jadi diam dan sedih. Bila dia pulang ke rumah, dia beritahu saya, ‘Saya sedih sebab teringat daddy,’” tulisnya lagi.

Tambah Zizie, dua lagi anaknya, Jenna dan Aaric, turut merasai kerinduan yang sama, namun masing-masing meluahkannya dengan cara tersendiri.

Bagaimanapun, Zizie menegaskan dia terus berusaha menjadi sandaran emosi buat anak-anaknya.

“Saya tahu saya seorang wanita yang kuat tapi melihat mereka bersedih ia benar-benar buat saya sedih.Saya tetap memeluk mereka, menyayangi mereka dalam apa jua keadaan dan saya percaya mereka akan baik-baik sahaja.

“Kami tidak sedang berantakan. Kami hanya sedang belajar bagaimana untuk merinduinya dan teruskan hidup,” tulisnya. 

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menghembuskan nafas terakhir sekitar 1.46 pagi pada 6 Disember 2025 di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu. 

Berita sedih pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan itu dikongsi anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar di Facebooknya. 

Difahamkan, Allahyarham menghadapi kegagalan buah pinggang dan dimasukkan ke hospital sejak pagi Khamis. Selain ahli keluarga, pemimpin politik dan rakan kenalan beliau turut berada di hospital itu sejak berita beliau dimasukkan ke hospital tersebar. 

Must-Watch Video

Advertisement