Skip to main content

Selebriti

Shiha Zikir Tepis Dakwaan Sihir, Penutupan Kedai Nasi Ayam Pengajaran Besar Dalam Perniagaan - "Dulu Tak Percaya Tapi..."

Shiha zikir sihir

Penyanyi, Shiha Zikir berkongsi bahawa kini dia lebih memahami asam garam dunia perniagaan selepas mengharungi sendiri segala dugaan dan cabaran.

Shiha bagaimanapun menegaskan bahawa penutupan restorannya di cawangan Shah Alam bukanlah angkara sihir atau perkara mistik tapi tidak menolak wujudnya gangguan berkenaan.

"Saya rasa sesiapa yang berniaga pun pernah lalui semua ini terutama industri makanan dan minuman. Kalau tak semua, mungkin kebanyakan peniaga pernah melaluinya tetapi saya pelik kenapa kena buat begitu.

"Betullah orang cakap rambut sama hitam, hati lain-lain. Dulu saya macam tak percaya tetapi bila kena pada diri sendiri, baru saya tahu.

"Namun, ingin saya tegaskan bahawa saya tutup kedai bukan sebab sihir tetapi sebab kekurangan diri saya dalam bidang perniagaan," katanya kepada Gempak.

Shiha berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media acara OHBulan! Paling Viral Online yang diadakan di Balai Berita Bangsar, Kuala Lumpur pada malam Jumaat.

Dalam masa sama, Shiha turut berkongsi pengalamannya menerima aduan daripada segelintir individu bahawa mereka tidak nampak kewujudan kedai Shiha walhal kedainya sentiasa dibuka.

"Selama ini saya cuma dengar pengalaman orang bila meniaga, sekarang saya sendiri yang merasainya.

"Antara pengalaman yang saya lalui ialah ada orang beritahu saya dia nampak kedai saya tutup sedangkan ia dibuka.

"Ada juga satu masa pak cik hantar tong gas pun cakap kedai saya tutup padahal setiap hari kedai saya buka," ujarnya.

Pelantun lagu Jagakan Dia itu turut berkata meskipun dia berat hati untuk menutup perniagaannya itu, namun dia tidak sanggup menanggung kerugian yang lebih besar memandangkan lokasi berkenaan tidak mencapai sasarannya.

"Dari kita menanggung kos kerugian yang lagi banyak setiap bulan, baik kita tutup dahulu. Sekarang saya tengah cari kawasan lain yang lebih strategik. Tipu kalau saya kata tiada kerisauan langsung tetapi saya lebih kepada teruja dan berhati-hati serta belajar dari kesilapan lalu.

"Saya juga terharu selepas pengumuman penutupan kedai itu, saya menerima pelbagai mesej serta sokongan. Ini menunjukkan sebenarnya masih ramai lagi yang menyokong perniagaan saya," jelasnya.

Terdahulu, Shiha mengumumkan restoran Shiha Zikir Nasi Ayam miliknya secara rasmi ditutup selepas dua tahun ia beroperasi di Shah Alam.

Sekadar info, dia memulakan perniagaan nasi ayam pada pertengahan Mac 2023 di Kampung Baru sebelum membuka kedai kedua di lokasi berkenaan.

Must-Watch Video

Advertisement