Video tular yang memaparkan kandungan berunsur penghinaan terhadap agama Islam termasuk perbuatan memijak al-Quran adalah rakaman lama bertarikh 2024 yang berlaku di Singapura.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, tindakan sedang diambil setelah menerima aduan daripada orang awam berhubung kandungan yang dimuat naik semula sehingga mencetuskan kegusaran serta ketegangan dalam kalangan masyarakat.
"Berdasarkan siasatan awal, dipercayai individu yang terlibat merupakan seorang warga Singapura dan insiden tersebut juga dipercayai berlaku di Singapura.
"Sehubungan itu, MCMC sedang bekerjasama dengan pihak platform media sosial terlibat, khususnya Threads, Facebook dan TikTok, bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil termasuk menyekat penyebaran serta akses terhadap kandungan berkenaan di Malaysia," katanya pada Isnin.
MCMC menegaskan bahawa sebarang penyebaran kandungan yang menyentuh sensitiviti agama serta berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk negara ini merupakan satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan semula kandungan tersebut.
"Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada MCMC melalui pautan https://aduan.mcmc.gov.my atau kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut," kata kenyataan itu.
Sumber: Sinar Harian