Sekilas
- Empat mayat pelancong Itali yang hilang ketika menyelam di gua bawah laut Maldives ditemui, melengkapkan operasi pencarian selepas tragedi selaman terburuk di negara itu.
- Operasi pencarian dibantu oleh pasukan penyelam elit dari Finland kerana cabaran menyelam ke kedalaman 150 meter di kawasan gua jerung Thinwana Kandu.
- Seorang anggota penyelam penyelamat Maldives juga maut dalam operasi tersebut, menjadikan jumlah korban keseluruhan enam orang.
Empat lagi mayat pelancong Itali yang hilang ketika menjalani aktiviti selaman di sebuah gua bawah laut di Maldives akhirnya ditemukan, sekali gus melengkapkan operasi pencarian dalam tragedi selaman paling buruk pernah direkodkan di negara kepulauan itu.
Menurut laporan media antarabangsa, mayat Monica Montefalcone, 52, anak perempuannya Giorgia Sommacal, 20, Muriel Oddenino, 31, dan Federico Gualtieri, 31, ditemukan di kawasan Thinwana Kandu yang turut dikenali sebagai “gua jerung”.
Sebelum ini, mayat jurulatih selam mereka, Gianluca Benedetti, 44, ditemukan lebih awal pada Jumaat lalu.
Kesemua mangsa dipercayai hilang sejak Khamis ketika meneroka rangkaian gua bawah laut di Vaavu Atoll, Maldives.

Operasi pencarian terpaksa dibantu pasukan penyelam elit dari Finland yang diterbangkan khas oleh Divers Alert Network Europe selepas pihak berkuasa tempatan berdepan kesukaran menyelam sehingga kedalaman kira-kira 150 meter untuk memasuki kawasan gua tersebut.
Setakat ini, punca sebenar kematian masih belum dikenal pasti, namun media antarabangsa melaporkan kemungkinan keracunan oksigen akibat selaman terlalu dalam antara faktor yang sedang disiasat.
Dalam masa sama, tragedi itu turut meragut nyawa seorang anggota penyelam penyelamat Maldives, Sarjan Mejar Mohamed Mahudhee, yang maut ketika operasi mencari mangsa pada Sabtu lalu, menjadikan jumlah korban keseluruhan meningkat kepada enam orang.
Laporan turut menyebut kira-kira 20 lagi pelancong Itali berada di atas kapal layar Duke of York ketika kejadian berlaku, namun mereka dilaporkan selamat dan sudah pulang ke Itali.