Skip to main content

Berita

Rutin Ulang Alik Sejauh 700km Bertukar Tragedi, Pegawai Imigresen Maut Akibat Kemalangan - “Di Miri Ada Ibu, Di Sibu Ada Isteri & Anak”

Kemalangan

Sekilas

  • Seorang pegawai Jabatan Imigresen, Azman Mazni, maut dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang dari Papar ke Sibu.
  • Azman sanggup ulang-alik lebih 700 kilometer setiap minggu merentasi Brunei demi bertemu keluarga di Miri dan Sibu.
  • Sahabatnya berkongsi bahawa arwah sedang dalam proses memohon pertukaran kerja untuk lebih dekat dengan keluarga, namun belum mendapat kelulusan.

Rutin seorang lelaki bergelar bapa yang sanggup berulang-alik sejauh lebih 700 kilometer setiap minggu demi keluarga berakhir dengan tragedi apabila lelaki itu dilaporkan maut selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada Sabtu.

Mangsa, Azman Mazni yang bekerja sebagai pegawai Jabatan Imigresen Malaysia menghembuskan nafas selepas terlibat dalam satu kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari Papar menuju ke kediamannya di Sibu kira-kira jam 9.45 malam.

Berita sedih itu dikongsikan sendiri sahabat baiknya yang dikenali sebagai S Faizzul Syar menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Faizzul, arwah menjadikan rutin ulang-alik sejauh 700km yang turut melibatkan laluan antarabangsa melalui Brunei demi berjumpa keluarga tercintanya  bertemu keluarga tercintanya di Miri atau Sibu.

“Al Fatihah sahabat Azman Mazni. Dalam jam 9.45pm 25 April dapat WhatsApp dari kawan depot imigresen Sabah dan kawan di Bintilu serentak menyatakan sahabat kami kemalangan. Baru ja last chat di group WhatsApp dalam jam 8.

“Pengorbanan seorang suami, ayah dan anak. Lebih kurang setiap minggu ulang-alik dari Depot Imigresen Papar (tempat kerja) ke rumah sama ada Miri atau Sibu.

“Di Miri ada ibu nak dijaga. Di Sibu pula ada isteri dan anak. Perjalanan melebihi 700km merentasi Brunei.

“Perjalanan darat dari Sabah ke Sarawak bukan hanya merentas negeri tetapi merentas negara,”kongsinya.

Menerusi perkongsian yang sama, Faizzul memaklumkan arwah mempunyai usaha untuk pindah namun masih dalam proses.

“Tiap kali bertemu atau call memang topic yang arwah tanya ialah pasal perpindahan. Bukan tiada usaha. Tapi dah dapat sokongan dari negeri cuma belum dapat kelulusan dari HQ.  

“Sampai arwah tanya kalau isi untuk pertukaran jabatan mungkin dapat pindah ke Sarawak. Kadang seseorang memohon pertukaran bukan sebab saja-saja, tapi ada orang tersayang menunggu,” kongsinya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menzahirkan ucapan takziah buat keluarga mangsa dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat.

Sumber: Facebook

Anda mungkin berminat dengan

Interactive octopus plush dog toy with snack dispenser

Interactive octopus plush dog toy with snack dispenser

Ceramic Plate

Ceramic Plate

Abraca Dabra Super Soft Earth Tone Colour Series Microfibre Pillowcase (20" X 30"/1 Pc)

Abraca Dabra Super Soft Earth Tone Colour Series Microfibre Pillowcase (20" X 30"/1 Pc)

HABIB 999 24K Yellow Gold Pendant (Butterfly) 9GP008

HABIB 999 24K Yellow Gold Pendant (Butterfly) 9GP008

ZANZEA Women's Retro Casual Plaid Set - V-neck, Lantern Sleeves, Elastic Waist

ZANZEA Women's Retro Casual Plaid Set - V-neck, Lantern Sleeves, Elastic Waist

Must-Watch Video

Advertisement