Sekilas
- Lukisan bekas Menteri Besar Kelantan, Almarhum Tok Guru Nik Aziz, yang tergantung di pejabat pengurusan PUTIK tidak hangus walaupun berlaku kebakaran awal pagi Selasa.
- Selain lukisan tersebut, ayat Kursi yang digantung bersebelahan juga selamat daripada kebakaran.
- Kebakaran yang memusnahkan 80 peratus pejabat pengurusan dan pondok pengawal masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Lukisan bekas Menteri Besar Kelantan, Almarhum Tok Guru Nik Aziz atau Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang digantung di dinding pejabat pengurusan Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa Kelantan tidak hangus walaupun premis itu terbakar awal pagi Selasa.
Penyelia PUTIK, Raja Roslan Raja Yaacob berkata, gambar tersebut yang digantung lebih 20 tahun itu berada dalam keadaan baik.
"Selain lukisan itu, ayat Kursi yang digantung bersebelahan dengan lukisan Almarhum Tok Guru juga tidak terbakar," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Menurut beliau, kejadian kebakaran itu diketahuinya sekitar jam 5 pagi apabila dihubungi oleh pengawal keselamatan memaklumkan perkara tersebut.
Ujarnya, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Sinar Harian Online sebelum ini melaporkan, sebuah pejabat pengurusan dan pondok pengawal di bangunan milik Pas iaitu PUTIK di sini terbakar.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Pegawai Bomba Kanan 1, Che Mazlan Mohamed, kebakaran terbabit melibatkan sebuah pondok pengawal beserta pejabat pengurusan PUTIK yang membabitkan kemusnahan sebanyak 80 peratus.
Sumber: Sinar Harian