Skip to main content

Viral

Masjid At-Taqwa Tepis Dakwaan Diboikot, Tegaskan Kehadiran Jemaah Cecah 1,000 Orang Setiap Hari

Astro Gempak masjid attaqwa ttdi

Sekilas

  • Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail menafikan dakwaan boikot selepas gambar suasana lengang sebelum waktu berbuka tular di media sosial.
  • Jumlah jemaah berbuka puasa sepanjang Ramadan kekal sekitar 800 hingga 1,000 orang setiap hari, sama seperti tahun sebelumnya.
  • Masjid menjalankan pelbagai program untuk belia dan kanak-kanak serta menyalurkan makanan kepada masyarakat, dengan peruntukan RM450,000 bagi kos Ramadan tahun ini.

Masjid At-Taqwa Tepis Dakwaan Diboikot, Tegaskan Kehadiran Jemaah Cecah 1,000 Orang Setiap Hari

Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail menafikan dakwaan kononnya masjid tersebut diboikot susulan penularan satu hantaran di aplikasi Threads bertarikh 22 Februari lalu.

Hantaran yang dimuat naik sekitar jam 6.32 petang itu memaparkan suasana agak lengang ketika waktu hampir berbuka puasa, sekali gus mengundang pelbagai reaksi serta komen negatif dalam kalangan pengguna media sosial.

Dalam kenyataan rasmi bertarikh 27 Februari 2026, Pengerusinya, Dato’ Mohd Fadzli Yusof menjelaskan bahawa gambar tersebut dirakam sebelum kehadiran penuh jemaah, memandangkan kebiasaannya orang ramai mula memenuhi ruang masjid sekitar jam 7.00 malam.

“Hantaran tersebut menunjukkan suasana agak lengang tanpa kehadiran jemaah sepenuhnya. Hakikatnya, jemaah mula memenuhi masjid bermula jam 7.00 malam,” katanya.

Menurut beliau, jumlah jemaah berbuka puasa di masjid berkenaan sepanjang Ramadan ini adalah setara dengan tahun sebelumnya, iaitu sekitar 800 hingga 1,000 orang setiap hari.

“Sepertimana Ramadan tahun lepas, bilangan jemaah yang datang berbuka puasa di masjid pada tahun ini juga adalah lingkungan 800-1000 orang setiap hari.

“Pihak masjid menyantuni semua jemaah yang hadir tanpa syarat. Ada ketikanya, pihak masjid menempah makanan tambahan bagi menampung jemaah yang hadir terlalu ramai diluar jangkaan,” katanya.

Selain menyediakan juadah berbuka di masjid, pihak pengurusan turut memperluaskan agihan makanan kepada orang awam di Stesen MRT Taman Tun Dr Ismail serta menghantar makanan ke rumah ahli kariah yang uzur.

Bagi memastikan kelancaran program sepanjang Ramadan, pihak masjid memperuntukkan dana sebanyak RM450,000 bagi menampung kos berbuka puasa, moreh dan sahur tahun ini.

Dalam kenyataan sama, pihak masjid turut menegaskan bahawa pengurusan institusi itu dilaksanakan mengikut Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan Jawatankuasa Kariah 2019, selain berpandukan garis panduan pengurusan kewangan serta tanah perkuburan Islam Wilayah Persekutuan.

Masjid At-Taqwa juga memaklumkan bahawa mereka sentiasa cakna terhadap adab jemaah serta memperkukuh program pengajian agama dengan kehadiran barisan asatizah bertauliah. Kuliah subuh, maghrib, dhuha dan zohor muslimat diadakan setiap hari, dengan kehadiran solat Subuh berjemaah mencecah sekitar 500 orang setiap hari.

Dalam masa yang sama, pihak masjid memberi perhatian khusus kepada penglibatan belia dan kanak-kanak sebagai pelapis yang akan mengimarahkan masjid pada masa hadapan. 

Antara inisiatif yang dijalankan termasuk kelas mengaji mingguan, Hari Kanak-Kanak Peringkat Masjid, Program Khatan Perdana, Kids Zone sepanjang Ramadan serta program Semarak Cinta Al-Quran: Cilik Cinta Al-Quran. Aktiviti riadah seperti pertandingan karom dan e-sukan turut dianjurkan bagi mendekati golongan muda.

Mengakhiri kenyataan, pihak masjid menyeru agar masyarakat tidak mudah membuat kesimpulan berdasarkan satu rakaman atau gambar yang tidak menggambarkan situasi sebenar, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang menuntut kesatuan dan keharmonian.

Masjid At-Taqwa menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dan memelihara reputasi institusi sebagai pusat ibadah serta penyatuan ummah di kawasan Taman Tun Dr Ismail dan sekitarnya.

Anda mungkin berminat dengan

Naelofar Iznik Sejadah

Naelofar Iznik Sejadah

Must-Watch Video

Advertisement