Sekilas
- Seorang ibu tunggal di Jawa Tengah, Indonesia, terpaksa tinggal di pondok daif selepas menjual rumah untuk bayar hutang dan bantu kos perkahwinan anaknya.
- Kerajaan daerah Kudus memberikan bantuan bahan binaan, makanan, dan alas tidur serta merancang pembinaan rumah baru secara gotong-royong.
- Anak Siti yang berhenti sekolah akan dibantu untuk sambung pelajaran, manakala Siti pula dimasukkan dalam program Rumah Sederhana Layak Huni.
Kisah seorang ibu tunggal di Jawa Tengah, Indonesia meraih perhatian ramai selepas dia terpaksa tinggal di sebuah pondok daif di tepi sungai setelah menjual rumahnya bagi melangsaikan hutang dan membantu pembiayaan kos perkahwinan anaknya.
Siti Sumanah, 57, dari Kabupaten Kudus dilaporkan menetap di pondok kecil berukuran kira-kira 3 x 4 meter bersama seorang anak lelakinya sejak enam bulan lalu.
Kediaman itu hanya beratapkan kepingan bumbung lama, berdindingkan kanvas plastik dan berlantaikan tanah, selain berisiko bocor serta lembap ketika hujan.
Ketua Daerah Bae, Moh Syafii berkata, Siti sebelum ini menetap di Desa Gribig, namun terpaksa menjual rumahnya.
Menurutnya, rumah itu dijual pada harga 60 juta rupiah (RM13,520), dengan sebahagian wang digunakan untuk membayar hutang dan membantu urusan perkahwinan anak sulungnya.
“Beliau seorang janda susah dan hanya bekerja membantu orang menjual sosej,” katanya.
Siti berkata, kehidupannya menjadi semakin sukar selepas kematian suami, menyebabkan dia perlu menanggung keluarga dalam keadaan serba kekurangan.
“Wang itu digunakan untuk bayar hutang dan bantu perkahwinan anak kerana keadaan sudah mendesak.
“Hidup susah sejak suami meninggal dunia,” katanya.
Anak sulung Siti sudah berkahwin dan tinggal di luar kota, manakala seorang lagi anaknya masih tinggal bersamanya di pondok tersebut.
Kisah kehidupan Siti mula mendapat perhatian selepas keadaan tempat tinggalnya tular dan dilaporkan kepada kerajaan daerah.
Susulan itu, kerajaan Kabupaten Kudus menyerahkan bantuan bahan binaan bagi membina kediaman lebih selesa untuk Siti.
Bantuan makanan dan alas tidur turut diberikan bagi meringankan beban harian keluarga berkenaan.
Pembinaan rumah itu akan dilakukan secara gotong-royong bersama penduduk setempat.
Ketua Dinas Sosial Kudus, Putut Winarno berkata, Bupati Kudus, Sam’ani Intakoris bersama timbalannya, Bellinda Putri turut melawat Siti selepas menerima laporan masyarakat.
Menurutnya, kerajaan daerah juga berusaha memasukkan nama Siti dalam program Rumah Sederhana Layak Huni, selain mengupayakan bantuan susulan melalui agensi kebajikan dan pihak swasta.
Dalam perkembangan sama, anak Siti yang dilaporkan berhenti sekolah sejak setahun lalu akan dibantu untuk menyambung semula pelajaran di sekolah menengah berhampiran.
Siti menzahirkan rasa syukur atas perhatian dan bantuan yang diterima.
“Terima kasih banyak,” katanya sebak. - Agensi