Sekilas
- China mendakwa penyu dan ikan di perairannya dipasang alat pengesan oleh agensi perisikan asing untuk memetakan kawasan dasar laut.
- Kementerian Keselamatan Negara China berkata haiwan marin ini mengumpul data sensitif seperti suhu air dan arus laut sebelum menghantarnya ke luar negara.
- Pihak berkuasa menggesa pemeriksaan keselamatan terhadap peralatan luar negara dan meminta nelayan melaporkan sebarang peranti mencurigakan di laut.
China mendakwa penyu dan ikan di perairannya dipasang alat pengesan oleh agensi perisikan asing, dipercayai bagi memetakan kawasan dasar laut di sepanjang pantai.
Dalam satu hantaran media sosial bertajuk 'Di Bawah Laut Biru, Arus Tersembunyi Sedang Bergelora', Kementerian Keselamatan Negara China berkata, agensi perisik antarabangsa kini menggunakan 'alat pengintip baharu’ untuk mencuri data sensitif marin.
“Haiwan marin bersaiz agak besar yang dipasang sensor ditemui di beberapa perairan China,” menurut kementerian itu menerusi bahagian bertajuk 'Penyu dan Ikan Perisik'.
Menurut kenyataan itu lagi, makhluk berkenaan ditemui berenang di kawasan tertentu sambil mengumpulkan data sensitif mengenai persekitaran laut seperti suhu air, kadar kemasinan dan arus laut sebelum menghantarnya ke luar negara melalui satelit.
Kumpulan asing juga didakwa menggunakan peluncur ombak berkuasa solar, boya dengan sensor berketepatan tinggi serta peranti dipasang pada kapal kargo yang mampu memantau ‘dinamik pelabuhan’ secara masa nyata, tanpa menamakan mana-mana agensi tertentu.
Data dikumpulkan itu didakwa digunakan untuk menghasilkan ‘peta bawah laut’ kononnya boleh mengenal pasti kelemahan pertahanan pantai China, sekali gus menimbulkan ancaman serius terhadap keselamatan negara.
Pihak berkuasa turut menggesa pemeriksaan keselamatan dilakukan terhadap peralatan diterima dari luar negara serta meminta nelayan melaporkan sebarang boya atau peranti mencurigakan yang ditemui di laut.
Sumber: Sinar Harian