Sekilas
- Karl Shafeek mengakui populariti penting dalam kerjaya penyampai radio kerana ia datang secara semula jadi melalui topik dan mesej yang menarik perhatian pendengar.
- Beliau menegaskan penyampai radio terkenal biasanya berjaya kerana karier dan sumbangan mereka kepada masyarakat.
- Karl, yang meraih tempat kedua dalam Penyampai Emas SINAR 2026, berkongsi cabaran menambat hati pendengar tanpa perlu menunjukkan wajah seperti di depan kamera.
Finalis penyampai Emas SINAR 2026, Karl Shafek mengakui bahawa kerjaya sebagai penyampai radio perlu bergerak seiring dengan populariti.
Menurutnya, populariti tersebut datang secara semula jadi apabila penyampai berjaya menarik minat pendengar melalui topik dan mesej yang disampaikan.
"Bagi saya populariti itu datang sekali. Bila dah jadi penyampai radio, kita memang akan menarik golongan tertentu untuk jadi peminat. Mungkin topik atau segmen yang kita bawakan itu menarik perhatian pendengar.
"Dah terbukti juga kalau kita membandingkan atau lihat kebalakangan ini, penyampai radio terkenal sebab karier mereka dan apa yang mereka berikan pada masyarakat. Saya rasa perlulah ada populariti itu," katanya kepada Gempak.
Karl berkata demikian selepas tamat pertandingan akhir Penyampai Emas SINAR 2026 serta sidang media pengenalan barisan penyampai baharu SINAR yang berlangsung di Forest Valley Hall, Cheras pada Jumaat.
Mengimbas kembali kejayaannya meraih tempat kedua dalam program pencarian bakat penyiaran itu, anak kelahiran Pahang tersebut mengakui impiannya sejak dahulu adalah untuk bergelar penyampai radio.
Menurut Karl, dia sendiri tidak menyangka mampu meraih kemenangan memandangkan dia perlu bersaing dengan ramai peserta yang lebih berpengalaman.
"Ini adalah benda yang saya minat dan impian saya untuk menjadi penyampai radio. Saya tak jangkakan kemenangan ini, saya cuma beri apa yang terbaik. Saya ingatkan saya dapat tempat ketiga atau keempat selepas melihat kehebatan pesaing lain.
"Saya sering memikirkan bagaimana ingin menambat hati pendengar tanpa mereka melihat wajah kita. Itu adalah cabaran terbesar saya memandangkan saya sudah biasa memperlihatkan diri saya di hadapan lensa kamera," ujarnya.