Sekilas
- Azza Elite menasihati individu yang memuat naik resit pembelian di restoran Rembayung supaya tidak kedekut dalam membelanjakan wang untuk diri sendiri.
- Azza mencadangkan jika tidak mampu makan di restoran tersebut, lebih baik memasak sendiri di rumah dan mempersoalkan niat individu itu memuat naik resit untuk meraih perhatian.
- Khairul Aming mengumumkan pembukaan restoran pertamanya, Rembayung, yang menelan kos pelaburan sehingga RM4 juta dan dijangka beroperasi Januari tahun depan.
Penyanyi dan usahawan, Azza Elite menitipkan pesanan kepada seorang individu yang memuat naik resit pembelian di restoran Rembayung milik pempengaruh, Khairul Aming dengan tujuan memberi tanggapan negatif terhadap harga makanan yang didakwa mahal.
Menerusi Threads, Azza menasihati individu berkenaan agar tidak bersikap kedekut dalam membelanjakan wang untuk diri sendiri.
Menurutnya, jika tidak mampu untuk membiayai makanan di restoran tersebut, maka dia menyarankan agar individu itu memasak sendiri di rumah sahaja.
"Nak makan sedap tapi kedekut. Nanti Allah Tarik rezeki baru tahu. Jangan kedekut dengan diri sendiri. Kalau mampu, makan. Kalau tak mampu, kita masak sendiri," tulisnya.
Dalam masa sama, Azza turut mempersoalkan tindakan individu terbabit yang memuat naik resit berkenaan di media sosial dan beranggapan ia sekadar untuk meraih perhatian, memandangkan restoran tersebut sedang tular ketika ini.
"Kenapa nak 'show off' resit? Sebab nak hype. Kau makan Sukiya atau Serai, bil dia macam ini juga," ujarnya.
Terdahulu, Khairul mengejutkan ramai apabila mengumumkan pembukaan restoran pertamanya ‘Rembayung’ yang dijangka beroperasi mulai Januari tahun depan.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Khairul Aming berkata, projek tersebut adalah antara pelaburan terbesar pernah dilakukannya sepanjang bergelar usahawan dan menelan kos sehingga RM4 juta.