Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) terus mencatat momentum positif pada suku ketiga tahun kewangan 2026 apabila platform penstriman dan langganannya, Astro One, muncul sebagai pemacu utama pertumbuhan segmen Pay-TV.
Menurut Astro, suku berkenaan menyaksikan penambahan pelanggan kasar tertinggi sejak Astro One dilancarkan pada Disember 2024, sekali gus menunjukkan penerimaan kukuh dalam kalangan penonton Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Euan Smith, berkata perkembangan itu menunjukkan strategi transformasi syarikat berada pada landasan yang betul.
“Pelanggan terus memberi respons positif terhadap cadangan kandungan yang lebih jelas dan menarik, dan hasilnya Astro One kini membina momentum.
“Sooka pula mencatat salah satu pencapaian sukuan terbaik sejak dilancarkan, mengukuhkan peranannya sebagai enjin pertumbuhan penting,” katanya.
Tambahnya, prestasi kukuh kandungan tempatan serta kejayaan Astro meraih 16 kemenangan di Asian Academy Creative Awards 2025 membuktikan karya Malaysia semakin mendapat tempat di pentas serantau.
Bagi menghargai pelanggan setia dan menarik semula pelanggan lama, Astro memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk pakej penjawat awam dan kempen Friends and Family.
Langkah itu bukan sahaja mengeratkan hubungan dengan pelanggan malah menggalakkan penggunaan multi-bilik (multi-room adoption) dalam isi rumah.
Platform itu juga terus mengukuhkan kedudukan apabila pelanggan semakin memilih kandungan yang ditawarkan, termasuk rangkaian saluran Malaysia, sukan dan program hiburan keluarga.
Pada suku berkenaan, penonton tempatan terus menggemari karya Malaysia seperti filem seram Malam Terlarang yang kini menjadi filem seram tempatan No.1 dengan kutipan kasar pawagam melebihi RM12 juta.
Judul lain seperti Banduan dan Magik Rompak turut mencatat kutipan memberangsangkan, mengekalkan kekuatan katalog kandungan Astro.
Dalam segmen drama dan siri, Generasi: Perfect 10, sebuah Astro Originals, menjadi fenomena selepas meraih lebih 4.5 juta penonton TV, 1.5 juta tontonan On Demand dan 74 juta tontonan sosial.
Astro Originals berbahasa Cina turut menunjukkan peningkatan ketara. Siri Bride From The Past berjaya menarik lebih 990,000 penonton TV dan lebih 60 peratus daripada jumlah itu adalah penonton bukan Cina, menandakan capaian merentas demografi semakin kukuh.
Sukan kekal antara tarikan terbesar di Astro. Selain badminton dan bola sepak, Liga Sepak Takraw (STL) menunjukkan lonjakan tontonan apabila menarik 6.3 juta penonton TV tahun ini.