Skip to main content

Viral

Awie Lega 10 Tips Tipu Bini Dapat Sambutan – “Kalau Boleh Biarlah Meletup!”

10-tips-tipu-bini-awie-happy.jpg
Penyanyi, pelakon dan penerbit, Datuk Awie mengakui lega apabila filem terbitannya 10 Tips Tipu Bini yang ditayangkan menerusi Astro First mendapat sambutan positif penonton.

Awie, 52, berkata, dia gembira apabila filem pertama terbitannya itu menjadi pilihan penonton dan nombor satu di Astro First selepas seminggu ditayangkan.

“Lega bila dengar. Alhamdulillah, penonton boleh terima dan bagi sambutan serta komen positif kepada filem 10 Tips Tipu Bini.

“Seminggu tayangan dan berada dalam senarai top 5 tu satu berita positif buat saya,” katanya kepada Gempak.

Tambah Awie lagi, dia berharap agar filem arahan Azizi Chunk Adnan itu terus diterima ramai dan mendapat kutipan yang baik.

“Kalau tanya harapan, mestilah saya mahu filem ini box-office dan mendapat kutipan yang bagus. Insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu Awie turut berpesan kepada orang ramai yang belum melanggan agar tidak melepaskan peluang meluangkan masa bersama keluarga, menonton 10 Tips Tipu Bini.

“Kalau tak tengok tak tahu. Tonton dan nilai sendiri kerana setiap orang itu citarasanya berbeza kan? 10 Tips Tipu Bini ini komedi ringan, memang untuk bergelak ketawa sahaja.

“Lepas tonton, jadikan iktibar sebab perkara ini memang berlaku setiap hari di dalam kalangan mereka yang telah berkeluarga.

“Isu seperti ini nampak susah untuk dibincangkan, tetapi inilah hakikat yang terjadi,”  katanya.


Filem 10 Tips Tipu Bini diterbitkan Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd. yang diarahkan oleh Azizi ‘Chunk’ Adnan, manakala skrip ditulis oleh Armada Al Haq.

10 Tips Tipu Bini sebuah  karya  menghimpunkan Khir  Rahman,  Ropie,  Joey  Daud,  Vicha,  Jehan  Miskin,  Nasir  Bilal Khan, Atu Zero, Azlee Senario, Nazia Mustafar dan ramai lagi.

Filem  berdurasi  104  minit ini mengisahkan  tentang  3  sahabat  baik (Raffi,  Kay  dan  Jepp) yang bekerja sebagai Pengarah Kreatif di sebuah syarikat pengiklanan yang terkenal di Kuala Lumpur bernama Grand  Poyo  Advertising  &  Events  kepunyaan  Dato Dean.

Boleh  dikatakan  mereka merupakan pekerja yang  dedikasi  dan  mempunyai  idea-idea  menarik  dan  hebat.  Namun  begitu  perkara  sebaliknya bila mereka berada di rumah masing-masing.

Di rumah mereka adalah seorang suami yang terlalu takut dengan isteri masing-masing.
Mereka mempunyai  kelab  motor  berkuasa  besar  Harley  Davidson  diberi  nama ‘DUBUK LIAR’.

Mereka bertiga sedang mengalami masalah ‘Krisis Pertengahan Usia” yang sering melanda para suami di mana mempunyai niat untuk melakukan sesuatu tetapi takut-takut.  

Segalanya  berubah dengan  kehadiran 3  orang  gadis ‘intern’ yang cantik dan muda bekerja di syarikat mereka.

Di situ mereka mula berangan dan memasang niat nakal untuk memikat tiga orang gadis tersebut untuk dijadikan kekasih masing-masing.

Akan  tetapi mereka  bermasalah  dengan  kerenah  isteri-isteri  di rumah. Pelbagai penipuan ‘kiri dan kanan’ direka demi melaksanakan niat-niat mereka itu.

Saksikan filem 10 Tips Tipu Bini di pawagam rumah anda, Astro First sekarang juga!

Untuk melanggan sila ke saluran 480. Anda juga boleh strim 10 Tips Tipu Bini di Astro Go atau On Demand.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang!

Setakat ini rekod box office dipegang oleh filem Mael Totey The Movie  dengan kutipan paling tinggi RM6.4 juta di Astro First sekali gus memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang filem Syif Malam Raya. 

Advertisement

Must-Watch Video