Sekilas
- Aisha Retno menafikan dakwaan dia tamak menerima tawaran kerja dan menjelaskan kesibukan adalah impian setiap anak seni.
- Dia menganggap tamak adalah apabila seseorang mencuri kerja orang lain atau mengambil tugas yang tidak mampu dilakukan.
- Aisha bakal berdepan jadual padat dengan dua acara besar pada hari sama dan sudah membuat perancangan rapi serta menjaga kesihatan untuk memastikan persembahan lancar.
Penyanyi dan komposer, Aisha Retno menafikan dakwaan segelintir pihak dia bersifat tamak dalam menerima tawaran dalam satu-satu masa.
Menurut Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, kesibukan merupakan sesuatu yang diimpikan oleh setiap anak seni dan tidak seharusnya dipandang negatif.
“Bagi saya, why not? Nak kata tamak? Tak adalah. Rezeki ada di mana-mana. Selagi kita mampu, kita galas.
“Busy is good, busy is life sebagai seorang selebriti. Selagi kita masih ada daya, kesihatan mental dan fizikal yang baik, itu bukanlah definisi tamak,” katanya kepada Gempak.
Pelantun lagu Tak Adil itu juga beranggapan, sikap tamak hanya wujud apabila seseorang cuba merampas peluang milik orang lain atau menerima pekerjaan yang tidak mampu dilaksanakan.
“Bagi saya, definisi tamak adalah apabila kita mencuri kerja orang lain atau mencaras rezeki orang lain atau apabila kita tahu kita tak mampu buat sesuatu, tetapi tetap mahu ambil juga. Itu bagi saya adalah definisi tamak,” ujarnya.
Dalam masa sama, Aisha mengakui dia tidak mampu mengawal persepsi orang ramai terhadap dirinya dan memilih untuk terus fokus memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan.
“Kalau orang nak kata saya tamak, biarlah. Pada akhirnya, kita juga yang berada di atas pentas dan kita juga yang membuat persembahan. So, let them talk. Yang penting kita teruskan sahaja,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Aisha bakal berdepan jadual padat apabila perlu menjayakan dua acara besar yang berlangsung pada hari yang sama iaitu Latihan Pestapora dan Anugerah Juara Lagu (AJL).
Bagaimanapun, penyanyi berusia 25 tahun itu berkata segala perancangan telah dibuat lebih awal bagi memastikan kedua-dua persembahan dapat berjalan lancar.
“Betul, kedua-duanya adalah acara besar. Kami sudah berbincang mengenai setlist lagu yang akan saya bawakan di Pestapora, termasuk tempoh persembahan dan masa rehat sebelum saya membuat persembahan di AJL.
“Semuanya sudah diperhitungkan, insya-Allah semuanya baik-baik sahaja,” katanya.
Bagi memastikan kesihatannya berada pada tahap terbaik, Aisha berkata dia akan memberi perhatian lebih terhadap aspek pemakanan dan menjaga kondisi fizikal menjelang kedua-dua acara tersebut.
“Sudah tentu saya akan mengambil langkah berjaga-jaga dari segi kesihatan. Mungkin saya akan lebih menjaga pemakanan, makan makanan yang lebih sihat dan mengambil beberapa langkah tambahan.
“Insya-Allah semuanya dipermudahkan dan saya mohon doa semua agar kesihatan saya sentiasa berada dalam keadaan yang baik,” ujarnya.