Skip to main content

Hiburan

Inteam Dedah Pernah Tarik Diri Dari Konsert Selepas Dapat Tahu Penganjur Ada...

Astro Gempak 226

Sekilas

  • Kumpulan nasyid Inteam pernah menarik diri daripada sebuah konsert selepas mengetahui salah seorang penganjur terlibat dengan isu perundangan bagi mengelakkan kontroversi.
  • Mereka juga menjadi mangsa manipulasi gambar dan nama untuk tujuan pelaburan dan kutipan dana, lalu menegaskan hanya pengumuman rasmi di media sosial mereka yang sah.
  • Inteam akan mengadakan persembahan pada Malam Dari Kasih ke Ehsan pada 14 Ogos di Dewan Tun Rahah, Kuala Lumpur, bagi mengumpul dana untuk pelbagai projek kemanusiaan.

Kumpulan nasyid Inteam mendedahkan pernah menarik diri daripada sebuah konsert selepas mengetahui salah seorang penganjur atau penyumbang program berkenaan berdepan isu perundangan.

Menurut anggotanya, Mohd. Syahril Abdul Khalid, keputusan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan nama kumpulan tersebut dikaitkan dengan sebarang kontroversi.

“Kami pernah tarik diri daripada konsert yang kita dijemput. Kami dijemput untuk satu konsert yang mana salah satu daripada penganjur ataupun pendana atau penyumbang ada masalah perundangan, jadi kita tarik diri.

“Alhamdulillah, kita tak terpalit dengan isu yang ditimbulkan,” katanya pada sidang media majlis amal Dari Kasih ke Ehsan di pejabat Global Ehsan Relief, Kampung Baru, di sini, semalam.

Syahril berkata, Inteam juga pernah menjadi mangsa apabila nama dan gambar mereka dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab bagi tujuan pelaburan dan kutipan dana.

“Ada juga pihak yang memanipulasi gambar kami. Kononnya kita ada pelaburan, kita terbabit dengan pengumpulan dana dan sebagainya.

“Sebab masih di peringkat awal, kita dapat kesan apabila ada orang yang maklumkan. Jadi, kita dapat kendalikan dan alhamdulillah benda itu selesai di situ saja. Kita tak buat tuntutan pun.

“Memang banyak pihak yang terkena juga. Jadi kami tak terlepas. Sebab itu kami ada media sosial rasmi. Di situ kita akan buat pengumuman dan maklumkan mengenai penglibatan kami,” katanya.

Tambahnya, kecanggihan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) kini memudahkan pihak tidak bertanggungjawab memperdaya orang ramai.

“Memang banyak cara orang nak menipu sekarang, tambah lagi guna teknologi AI, lagi senang.

“Jadi kebiasaannya kalau ada konsert atau persembahan, ramai akan bertanya sama ada penglibatan kami itu rasmi atau tidak.
“Sebab itu setiap persembahan kami akan ada video, poster dan maklumat rasmi supaya semua maklum,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi anggota Inteam, Hazamin Harun berkata, mereka sentiasa melakukan semakan latar belakang sebelum bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Memang sebenarnya kami sendiri banyak bekerjasama dengan NGO dan kita sentiasa berhati-hati serta membuat semakan latar belakang.

“Kami pilih juga NGO mana yang kita mahu terbabit dan antaranya Global Ehsan Relief, sebuah NGO yang diaudit serta mempunyai pengurusan akaun yang telus.

“Jadi kami boleh bekerjasama dan kita juga nak menyeru orang ramai supaya membuat sedikit kaji selidik sebelum menyumbang. Jangan terus pukul rata semua NGO bermasalah sebab banyak NGO yang buat kerja dengan baik dan menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Menurut Hazamin, mereka sendiri pernah turun ke lapangan bersama beberapa NGO ke negara seperti Yaman, Syria dan Lubnan sehingga memahami cabaran yang dihadapi badan kemanusiaan dalam menyampaikan bantuan.

“Kami sendiri pernah terbabit dengan beberapa NGO, pergi sendiri ke lapangan di Yaman, Syria dan Lubnan. Kita rasa sendiri susah payah NGO membuat kerja.

“Sebenarnya NGO diwujudkan untuk memudahkan kita menyampaikan bantuan. Cuma kita perlu berhati-hati sebab dalam banyak-banyak yang baik, tetap ada yang mengambil kesempatan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hazamin berkata, Inteam bakal menghiburkan tetamu menerusi enam buah lagu pada Malam Dari Kasih ke Ehsan yang dijadual berlangsung di Dewan Tun Rahah, Kuala Lumpur pada 14 Ogos depan.

“Persembahan kita akan disulamkan dengan lagu-lagu popular Inteam yang bertemakan kasih serta kemanusiaan.

“Kita akan masukkan juga unsur-unsur kemanusiaan, cuma kita belum putuskan lagi lagu yang akan dipersembahkan,” katanya.

Malam Dari Kasih ke Ehsan dianjurkan Global Ehsan Relief bagi menghimpunkan pendana, rakan strategik, peminat dan masyarakat dalam usaha mengumpul dana sebanyak RM500,000 untuk projek Ehsan Lokal, Bantuan Kecemasan Gaza, Bantuan Musim Sejuk serta Projek Umrah Anak Yatim.

Majlis itu turut menampilkan penyampaian tausiyah oleh barisan duta Global Ehsan Relief Malaysia iaitu Ustaz Hanafiah Abdul Malek, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi dan Ustaz Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim (PU Amin), manakala pengacara Fedtri Yahya bertindak sebagai hos program.

Tiket mula dijual menerusi laman sesawang rasmi www.darikasihkeehsan.com dengan harga individu bermula RM175, manakala pembelian meja korporat ditawarkan pada harga antara RM5,000 hingga RM25,000 berserta pelepasan cukai.

Anda mungkin berminat dengan

Skechers Unisex CNY Short Sleeve Tee

Skechers Unisex CNY Short Sleeve Tee

[NEW] PUMA Portugal Away Jersey Men

[NEW] PUMA Portugal Away Jersey Men

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB587

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB587

OHNII CNY Exclusive: Oversized Horse Front Haughty Bear Cotton Jersey Tshirt

OHNII CNY Exclusive: Oversized Horse Front Haughty Bear Cotton Jersey Tshirt

adidas Real Madrid Terrace Icons T-Shirt

adidas Real Madrid Terrace Icons T-Shirt

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

Must Watch Video

Advertisement