Sekilas
- Badut Gendong memperkenalkan watak antihero Darso dengan fokus pada pembangunan karakter dan elemen drama berbanding aksi dan seram.
- Filem ini mengisahkan perjuangan Darso selepas kehilangan isterinya dan perubahan dirinya akibat tekanan masyarakat serta tragedi yang dialami.
- Visual berkualiti dan lakonan mantap Marthino Lio menjadi kekuatan utama, walaupun beberapa pelakon lain kurang diberi ruang menyerlah.
Francais Universe Qodrat terus berkembang menerusi kemunculan Badut Gendong, sebuah naskhah yang hadir dengan pendekatan berbeza apabila lebih menumpukan kepada pembangunan karakter berbanding aksi dan elemen seram semata-mata.
Sejak awal penceritaan, watak Badut Gendong atau Darso diperkenalkan sebagai seorang antihero yang unik. Bukan karakter yang terus membuatkan penonton jatuh hati, sebaliknya meninggalkan rasa ingin tahu tentang perjalanan hidupnya.
Filem ini mengisahkan Darso dan isterinya, Darsi, pasangan penghibur jalanan yang mencari rezeki dengan membuat persembahan dari satu stesen ke stesen lain.
Kehidupan mereka yang serba kekurangan menjadi semakin sukar apabila Darsi hamil, namun segalanya berubah selepas satu tragedi meragut nyawa wanita itu.
Sekembalinya ke kampung halaman, Darso berdepan penghinaan masyarakat sehingga rasa kecewa dan amarah yang dipendam akhirnya mengubah dirinya menjadi seorang yang jauh lebih gelap.
Sepanjang tayangan, Badut Gendong lebih banyak bergerak dalam ruang drama berbanding aksi dan seram.
Sebahagian besar durasi filem digunakan untuk membina latar belakang serta perkembangan karakter Darso sebelum penonton dibawa menyelami sisi gelap kehidupannya.
Pendekatan tersebut dilihat sesuai memandangkan filem ini berfungsi sebagai pengenalan kepada watak yang dijangka memainkan peranan penting dalam Universe Qodrat pada masa akan datang.
Bagaimanapun, keseimbangan antara elemen drama, aksi dan seram masih belum benar-benar memuaskan apabila babak aksi yang dinanti-nantikan terasa agak terhad.
Walaupun begitu, unsur mistik masih berjaya diselitkan sepanjang filem bagi mengekalkan identiti dunia Qodrat yang sudah dikenali peminat.
Dari sudut penceritaan, masih terdapat beberapa persoalan yang belum dijawab sepenuhnya, khususnya bagaimana Darso kehilangan kesedaran ketika melakukan pelbagai tindakan ganas dan bagaimana dia akhirnya mampu mengawal pengaruh syaitan dalam dirinya.
Aspek tersebut berpotensi dikembangkan dalam naskhah seterusnya memandangkan watak Badut Gendong dijangka terus memainkan peranan penting dalam francais berkenaan.

Dari segi lakonan, Marthino Lio sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila berjaya menghidupkan watak Darso dengan cukup meyakinkan.
Penggunaan loghat, ekspresi wajah, bahasa tubuh dan aksi pertarungan dipersembahkan secara semula jadi sehingga menjadikan karakter itu mudah dipercayai penonton.

Dayinta Melira yang membawakan watak Darsi turut menyerlah menerusi penghayatan emosi yang kuat sehingga berjaya menghidupkan elemen dramatik filem tersebut.
Namun, beberapa pelakon lain seperti Clara Bernadeth dan Khivano Iskak dilihat kurang diberikan ruang untuk menyerlahkan potensi masing-masing.
Malah, kemunculan pelakon veteran Barry Prima juga dirasakan terlalu singkat walaupun karakternya mempunyai potensi besar untuk memberikan impak lebih mendalam terhadap keseluruhan cerita.
Dari aspek teknikal pula, kekuatan utama Badut Gendong tetap terletak pada visual yang berkualiti.
Babak-babak gore dipersembahkan dengan kemas tanpa keterlaluan, manakala sinematografi dan rekaan atmosfera berjaya memperkukuhkan suasana suram serta mendebarkan sepanjang filem.
Secara keseluruhannya, Badut Gendong mungkin bukan sebuah filem seram aksi yang sarat dengan adegan pertarungan, namun ia berjaya menjadi pengenalan kukuh kepada karakter antihero baharu dalam Universe Qodrat.
Dengan dominasi elemen drama serta pembangunan karakter yang lebih mendalam, filem ini berjaya meletakkan asas penting sebelum dunia Universe Qodrat dikembangkan dengan konflik yang lebih besar pada masa hadapan.
Secara keseluruhan, naskhah arahan Charles Gozali itu boleh dianggap sebuah permulaan yang baik dengan penilaian 7/10.
Sumber: Layar.id