Skip to main content

Hiburan

Big Stage Rocketfuel: Hussain Terharu Sokongan Ramai, Rela ‘Puasa’ Durian - “Kalau Nampak Kedai, Saya…”

WhatsApp Image 2026 06 29 at 10.12.10 AM

Sekilas

  • Hussain dari Big Stage X Rocketfuel terpaksa berpuasa durian untuk jaga vokal selepas pengalaman hilang suara ketika pertandingan Talk To My Manager musim kedua.
  • Dia rasa syukur dengan sokongan peminat yang mengundi dan berazam kuatkan mental untuk bertahan sehingga ke final program selama lapan minggu.
  • Big Stage X Rocketfuel menampilkan 11 peserta yang berentap dengan hadiah kontrak pembangunan artis bernilai sehingga RM200,000, disiarkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria.

Bintang program Big Stage X Rocketfuel, Hussain memaklumkan dia terpaksa ‘berpuasa’ dan melupakan seketika buah kegemarannya, durian bagi memastikan vokalnya berada dalam keadaan terbaik sepanjang program berlangsung.

Menurut Hussain, durian sememangnya merupakan antara buah kegemarannya, namun dia tidak mahu mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan ketika menyertai pertandingan Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), beberapa minggu lalu.

“Masa TTTM dulu, bapa saya cakap tak boleh makan durian sebab boleh mengganggu vokal. Jadi lapan ke sepuluh minggu saya memang puasa durian.

“Rasa sedih tak makan, tapi nak buat macam mana. Memang durian ni kegemaran saya.

“Beberapa hari sebelum final saya makan. Mula-mula cakap makan sikit saja, sedar-sedar dah makan dua biji. Terus hilang suara,” katanya kepada Gempak.

Disebabkan itu, pemenang tempat kedua program TTMM2 itu memaklumkan dia tidak mahu mengambil risiko yang sama sepanjang penglibatannya dalam program Big Stage X Rocketfuel.

“Selepas ini kena puasa semula dari makan durian. Puasa lagi lapan minggu.

“Tapi musim durian akan berlalulah, lagi-lagi durian Musang King. Harga pula tengah drop sekarang. Saya kalau nampak gerai durian, saya terus tutup mata, pandang tempat lain sebab nak kawal nafsu,” luahnya.

Ditanya mengenai perasaannya terpilih sebagai salah seorang peserta, Hussain meluahkan rasa syukur dan mahu menjadikan sokongan yang diterima sebagai pembakar semangat untuk memberikan persembahan terbaik.

“Alhamdulillah ramai yang mengundi saya dan perkara itu menjadikan saya lagi bertambah semangat.

“Bila tengok banyak yang mengundi nak saya masuk lagi dan ada yang  rindu dengan suara saya jadi saya rasa bahawa masih ada orang masih ingat saya. Tanpa mereka, tanpalah saya.

“Saya akan cuba untuk kuatkan lagi mental untuk lapan minggu lagi. Insya-Allah, kalau boleh sampai final,” katanya lagi.

Pada minggu pertama program Big Stage X Rocketfuel, Hussain telah diumumkan sebagai peserta kesebelas dan bakal berentap merebut gelaran juara bersama 10 lagi peserta.

Selain Hussain, 10 lagi peserta yang bakal bersaing pada musim ini termasuklah Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina, duo Adam & Nazmie.

Sepanjang lapan minggu pertandingan, para peserta bakal berentap dengan tiga pemenang utama bakal menerima Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM200,000 secara keseluruhan.

Hadiah itu merangkumi penghasilan single dan video muzik, latihan vokal, pembangunan imej, sokongan pemasaran serta bimbingan kerjaya secara profesional.

Dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Azeva, jangan lupa untuk saksikan Big Stage X Rocketfuel setiap hari Ahad pada jam 9 malam di Astro Ria serta strim episod penuh menerusi Astro GO dan Sooka.

Anda mungkin berminat dengan

Uniqlo AIRism Cotton Flare Dress | Long Sleeve

Uniqlo AIRism Cotton Flare Dress | Long Sleeve

Walking Balloon Animals/Standing Cartoon Toys with Wheels

Walking Balloon Animals/Standing Cartoon Toys with Wheels

Tudung Bawal Cotton Bidang 45 NEW COLOUR Bucu Tajam Square Hijab

Tudung Bawal Cotton Bidang 45 NEW COLOUR Bucu Tajam Square Hijab

The mini retro gramophone Bluetooth speaker is compact and delicate, making it the top choice for gifts to girls. 复古音响-048

The mini retro gramophone Bluetooth speaker is compact and delicate, making it the top choice for gifts to girls. 复古音响-048

KING Relaxed Football Jersey Unisex in Mountain Blue by PUMA

KING Relaxed Football Jersey Unisex in Mountain Blue by PUMA

Must Watch Video

Advertisement