Sekilas
- Kamal Adli meluahkan kekecewaan terhadap individu yang sering mengecam pemain bola sepak terkenal, Cristiano Ronaldo, walaupun prestasinya baik.
- Kamal menghargai kehadiran Ronaldo dalam era beliau dan menikmati penglibatan terakhir pemain itu dalam Piala Dunia 2026.
- Beliau memuji disiplin tinggi Ronaldo dan kesan besar bola sepak dalam kehidupan pemain berusia 41 tahun itu, yang turut mendapat sokongan netizen.
Pelakon, Kamal Adli meluahkan rasa kecewa selepas melihat segelintir individu yang sering mengecam pemain bola sepak terkenal antarabangsa, Christiano Ronaldo.
Menerusi ciapan di Threads, Kamal berkata ramai yang tidak berpuas hati dengan Ronaldo atau lebih dikenali sebagai CR7 meskipun pemain tersebut telah beraksi dengan baik.
“Tak fahamlah kenapa orang sakit hati sangat dengan CR7. Bila dia perform pun orang kecam, tak dapat jaringkan goal pun kena juga,”tulisnya.
Sebagai peminat sejati, Kamal berkata dia bersyukur kerana pemain Portugal itu telah wujud pada zamannya, malah dia amat menikmati penglibatan terakhir CR7 di dalam Piala Dunia 2026 itu.
“Dia idola orang ramai termasuk saya. Saya sangat enjoy piala dunia terakhir dia ini. Saya bersyukur sangat sebab zaman saya ini, ada dia,”ujarnya.
Dalam pada itu, Kamal turut meluahkan rasa kagum terhadap tahap disiplin pemain berusia 41 tahun itu, selain berkongsi betapa tingginya kesan bola sepak terhadap kehidupan CR7.
“Tahap disiplin dia level god. Kalau dia menangis itu sebab dia terlalu sayangkan bola sepak. Bola sepak ini telah kayakan dia dan keluarga yang dulunya sangat miskin,” kongsinya.
Perkongsian tersebut mencetus pelbagai reaksi netizen yang rata-rata bersetuju dengan kenyataan Kamal, sambil memuji sikap CR7 yang merendah diri dan jujur dengan perasaan sendiri.