Sekilas
- Khairul Aming menerima lebih 3,000 permohonan kerja untuk restoran barunya, Rembayung, yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
- Beliau memohon maaf kerana tiada kekosongan jawatan buat masa ini selepas lima kekosongan awal sudah diisi.
- Rembayung adalah projek pelaburan terbesar Khairul Aming dengan kos sehingga RM4 juta dan dijangka beroperasi mulai Januari tahun depan.
Pelbagai reaksi di media sosial selepas pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming berkongsi mengenai restauran miliknya iaitu Rembayung.
Malah, terdapat segelintir wargamaya mencuba nasib untuk bekerja di restauran yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur itu.
Menerusi perkongsian di Threads, Khairul Aming atau lebih dikenali sebagai KA mendedahkan dia menerima lebih 3,000 permohonan kerja atau resume sejak Selasa.
“Lebih 3,000 resume masuk tanpa henti dari semalam untuk Rembayung. Terharu tengok ramai yang nak minta kerja,” kongsi Khairul Aming.
Pada perkongsian yang sama, Khairul Aming memohon maaf kepada yang memohon kerja kerana tiada kekosongan buat masa kini.
“Tapi saya mohon maaf sebab kita memang dah tak ada kekosongan buat masa sekarang. Semalam ada lima kekosongan tapi semua dah shortlisted,” ujarnya.
Sebelum ini, Khairul Aming, mengejutkan ramai apabila mengumumkan pembukaan restoran pertamanya ‘Rembayung’ yang dijangka beroperasi mulai Januari tahun depan.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Khairul Aming berkata, projek tersebut adalah antara pelaburan terbesar pernah dilakukannya sepanjang bergelar usahawan dan menelan kos sehingga RM4 juta.