Skip to main content

Hiburan

ALPHA Rai Ulang Tahun Pertama Dengan Album Sulung The First Wave

Astro Gempak 558

Sekilas

  • ALPHA meraikan ulang tahun pertama dengan pelancaran album studio penuh pertama mereka, The First Wave, yang mengandungi 12 lagu termasuk single popular Gelato dan Burn It Down.
  • Album ini menunjukkan kematangan muzik kumpulan serta eksperimen dengan pelbagai genre, dan mendapat sentuhan komposer antarabangsa yang pernah bekerjasama dengan kumpulan K-Pop terkenal.
  • ALPHA juga diumumkan sebagai duta jenama platform penstriman Sooka, dengan pelan khas yang menawarkan kandungan eksklusif berkaitan kumpulan tersebut.

Selepas setahun mencipta fenomena tersendiri dalam arena M-Pop tempatan, kumpulan ALPHA meraikan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seni mereka menerusi pelancaran album studio penuh pertama berjudul The First Wave.

Lebih istimewa, pelancaran album tersebut diadakan bersempena ulang tahun pertama penubuhan ALPHA menerusi acara khas yang berlangsung di Pavilion Damansara Heights, Ahad lalu.

Dianggotai Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky, ALPHA terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara kumpulan lelaki paling menonjol dalam industri hiburan tempatan menerusi identiti muzik yang segar, persembahan bertenaga serta sokongan peminat yang semakin berkembang.

Album The First Wave yang diterbitkan di bawah Rocketfuel Entertainment menghimpunkan 12 buah lagu yang mencerminkan perkembangan serta kematangan muzik mereka sepanjang setahun berada dalam industri.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album tersebut termasuk Mona Lisa (Bang Bang), P. Ramlee Saloma, Bujang, Tiada Pengganti dan single popular mereka, Gelato.

Turut melengkapkan album berkenaan ialah beberapa karya baharu seperti Mahkota Cinta, Gerak, Roman Empire, Diayang menampilkan AG Coco serta beberapa lagu lain yang dijangka menjadi kegemaran peminat.

Menurut Daniel Sher, album tersebut merupakan hadiah istimewa buat peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seni mereka sejak hari pertama.

“Rasa macam baru semalam kami memulakan perjalanan ini bersama-sama.

“Dalam tempoh setahun, kami belajar banyak perkara, melalui pelbagai cabaran dan mencipta begitu banyak kenangan.

“The First Wave adalah simbol kepada segala usaha dan pengorbanan yang telah kami curahkan sepanjang perjalanan ini dan kami mahu berkongsi momen istimewa ini dengan semua peminat,” katanya.

Sementara itu, Izat Ibrahim berkata album berkenaan memperlihatkan sisi ALPHA yang lebih matang selain menampilkan pelbagai warna muzik.

“Album ini sangat istimewa buat kami kerana setiap lagu membawa identiti dan emosi yang berbeza.

“Kami bereksperimen dengan pelbagai genre dan mempersembahkan sisi ALPHA yang mungkin belum pernah didengar sebelum ini.

“Kami benar-benar tidak sabar untuk mendengar reaksi peminat apabila mereka menikmati keseluruhan album ini buat pertama kali,” ujarnya.

Ray-D pula menyifatkan album tersebut sebagai gambaran perjalanan dan impian yang sedang dikejar oleh mereka sebagai sebuah kumpulan.

“Bagi kami, album ini bukan sekadar koleksi lagu.

“Ia merakamkan perjalanan kami sebagai sebuah kumpulan, impian yang sedang kami kejar dan hubungan yang kami bina bersama peminat sepanjang setahun ini,” katanya.

vdf

Antara lagu yang paling mencuri perhatian peminat ialah Burn It Down yang dirakamkan di Korea Selatan ketika ALPHA menjalani latihan intensif menerusi program ALPHA Dreams Unlocked: Seoul Chapter.

Lebih menarik, lagu tersebut mendapat sentuhan komposer antarabangsa Daniel Caesar dan Candace Sosa yang pernah menghasilkan karya untuk kumpulan K-Pop terkenal seperti BTS, TOMORROW X TOGETHER dan ENHYPEN.

Dalam perkembangan sama, ALPHA turut diumumkan sebagai duta jenama platform penstriman Sooka.

Bersempena kolaborasi tersebut, Sooka bakal memperkenalkan Pelan Sooka x ALPHA bermula 15 Jun ini pada harga RM34.90 untuk tempoh tiga bulan.

Pakej tersebut bukan sahaja menawarkan akses kepada pelbagai kandungan hiburan, malah turut menampilkan kandungan eksklusif ALPHA termasuk rakaman di sebalik tabir, temu bual khas dan muzik video kolaborasi yang hanya boleh ditonton menerusi platform berkenaan.

Sementara itu, Ketua Rocketfuel Entertainment, Mathan Rajasingam menyifatkan pelancaran album sulung tersebut sebagai satu pencapaian besar buat ALPHA dan industri muzik tempatan.

“Dalam tempoh yang singkat, ALPHA telah membuktikan bahawa mereka memiliki potensi besar untuk berkembang sebagai sebuah kumpulan yang mampu membawa identiti M-Pop Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

“The First Wave bukan sekadar album sulung mereka, tetapi manifestasi kepada dedikasi, disiplin dan kerja keras yang telah mereka tunjukkan sepanjang tahun lalu,” katanya.

Anda mungkin berminat dengan

Stoned World Cup Series : Germany

Stoned World Cup Series : Germany

Nike Club T-Shirt - Black

Nike Club T-Shirt - Black

Yonex OCM 2025 Men's Training Tee 3525

Yonex OCM 2025 Men's Training Tee 3525

TOPTOY Little Black Cat Cute Plush Pendant Doll Doll Girl Gift

TOPTOY Little Black Cat Cute Plush Pendant Doll Doll Girl Gift

POH KONG 999.9/24K Thank You Gold Wafer Coin

POH KONG 999.9/24K Thank You Gold Wafer Coin

Must Watch Video

Advertisement