Kapten Maghribi, Achraf Hakimi, bakal berdepan perbicaraan di mahkamah jenayah Perancis selepas pihak pendakwa mengesahkan terdapat bukti mencukupi untuk meneruskan kes rogol terhadap pemain tersebut.
Hakimi, 27, yang juga pertahanan Paris Saint-Germain (PSG), dituduh merogol seorang wanita berusia 24 tahun di kediamannya di pinggir Paris pada 2023.
Kes itu mula disiasat selepas pihak pendakwa raya di Nanterre membuka siasatan awal pada Mac tahun sama.
Mahkamah rayuan di Versailles mengesahkan keputusan untuk membawa kes tersebut ke perbicaraan penuh selepas rayuan yang difailkan oleh Hakimi untuk menggugurkan kes ditolak.
Sebelum ini, seorang hakim penyiasat telah mengarahkan perbicaraan pada Februari 2026 berdasarkan cadangan pihak pendakwa yang mendapati terdapat asas kukuh untuk pertuduhan diteruskan.
Bagaimanapun, tarikh rasmi perbicaraan masih belum ditetapkan.
Hakimi secara konsisten menafikan dakwaan terhadapnya dan menegaskan beliau tidak bersalah.

Dalam kenyataan di media sosial, beliau menyifatkan dirinya sebagai sasaran mudah kerana status sebagai figura terkenal.
“Jika saya bukan seorang yang terkenal, kes ini tidak akan wujud,” katanya.
Hakimi turut menyatakan telah lama berdiam diri kerana percaya kepada sistem keadilan, namun kini mahu membentangkan versi sebenar kejadian.
Peguam kepada pengadu, Rachel-Flore Pardo, menyambut baik keputusan mahkamah untuk meneruskan perbicaraan, sambil menyifatkan ia sebagai perkembangan penting dalam usaha menegakkan keadilan.
Menurutnya, keputusan itu memberi “kelegaan dan harapan” kepada anak guamnya serta peluang untuk didengar di mahkamah.
Dia juga turut berharap perbicaraan itu dapat membantu mangsa lain dan mengurangkan budaya penafian dalam kes keganasan seksual, termasuk dalam dunia bola sepak lelaki.
Perkembangan kes ini berlaku ketika Hakimi mengetuai Maghribi dalam saingan Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat.
Walaupun berdepan pertuduhan, beliau kekal dalam skuad dan diturunkan dalam perlawanan peringkat kumpulan menentang Scotland.
Hakimi merupakan antara pemain utama Maghribi dan pernah membantu negara itu mencipta sejarah sebagai pasukan Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia pada edisi 2022.
Kes ini menjadi perhatian antarabangsa memandangkan status Hakimi sebagai antara pertahanan terbaik dunia serta pengaruhnya dalam bola sepak global.
Jika disabitkan kesalahan, beliau berdepan hukuman berat di bawah undang-undang Perancis, namun prinsip undang-undang menetapkan beliau dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah.
Perbicaraan yang bakal berlangsung dijangka menjadi salah satu kes berprofil tinggi yang akan terus dipantau komuniti sukan dan perundangan antarabangsa dalam tempoh terdekat.
Sumber: AWANI