Pelakon Alif Hadi mengakui watak sebagai Rasyid dalam drama terbaharu, Ikatan Terlarang memberi cabaran besar sehingga membuatkan dirinya berasa penat, terutama dari segi emosi.
Menerusi perkongsian di Threads, Alif berkata watak itu bukan sahaja berdepan masalah mental, malah dia juga perlu menjayakan banyak babak bergelut dan bergaduh.
“Sebenarnya PENAT bawa watak Rasyid ni. Watak yang depressed, unstable, broken, baran, fragile. Emotion dia turun naik. Terjerit-jerit, bergelut, bergaduh sana sini,” kongsinya.
Dalam perkongsian sama, Alif turut mendedahkan dia pernah hilang suara selama dua minggu kerana terlalu banyak melakukan babak menjerit yang dirakam hampir setiap hari.
Bagaimanapun pelakon itu menganggap pengalaman membawa watak Rasyid sebagai satu cabaran baharu yang sangat bermakna dalam perjalanan kerjaya seninya.
“Dua minggu hilang suara. Hari-hari ada babak jerit. Ada back story kenapa Rasyid ni perangai macam tu. Tapi ia satu pengalaman bawa watak sebegini,” ujarnya.
Selain Alif Hadi, drama Ikatan Terlarang itu turut dibintangi oleh Erysha Emyra, Hisyam Hamid, Mawar Rashid dan Raja Azura.
Sumber - Threads