Sekilas
- Sofyank dan Mshaffuan kongsi cabaran utama menghasilkan ASCU: Kitab Kataha ialah memastikan visual sinematik kekal realistik tanpa terlalu fantasi.
- Kitab Kataha dijadikan elemen utama yang menghubungkan dunia ASCU, berbeza dengan konsep kuasa dalam universe luar seperti Marvel.
- Projek ini menggunakan pendekatan produksi luar tapi disesuaikan untuk audiens Malaysia supaya nampak asli dan bukan tiruan Hollywood.
Pencipta kandungan terkenal, Sofyank dan pengarah kreatif, Mshaffuan mengakui cabaran terbesar dalam menghasilkan projek Astro Shaw Cinematic Universe (ASCU): Kitab Kataha adalah memastikan visual sinematik kekal realistik tanpa terlalu melampau ke arah fantasi.
Menurut Sofyank, pendekatan projek tersebut perlu seimbang supaya masih dekat dengan penonton tempatan meskipun mempunyai elemen misteri dan dunia sinematik tersendiri.
“Setakat ini kami cuba jadikan ia grounded atau berpijak di bumi nyata.
“Cabaran utama kami adalah untuk capai kualiti sinematik tanpa melampaui had yang ditetapkan klien,” katanya.
Tambah mereka, pasukan produksi juga mahu memastikan ASCU: Kitab Kataha tidak kelihatan terlalu mistik atau terlalu fantasi seperti karya luar negara.
“Kami tak nak ia nampak terlalu mistik atau terlalu fantasi, tapi dalam masa sama elemen itu tetap kena ada,” ujarnya.
Dalam masa sama, Sofyank dan Mshaffuan turut menjelaskan idea penggunaan ‘Kitab Kataha’ sebagai elemen utama yang menghubungkan dunia ASCU.
“Kalau anda tengok universe luar macam Marvel, mereka ada objek yang menghubungkan watak-watak seperti Infinity Stones.
“Jadi bagi projek ini, kami letakkan Kitab Kataha sebagai pusat tarikan untuk tujuan promosi,” katanya.
Bagaimanapun, mereka menjelaskan fungsi kitab tersebut berbeza dan lebih tertumpu kepada pengisian penceritaan.
“Kitab Kataha ini bukan untuk kuasa yang sama, tapi lebih kepada pengisian dalam cerita itu sendiri.
“Kami cuba gunakan treatment produksi luar tetapi aplikasikan untuk audiens Malaysia supaya nampak seperti karya tempatan dan bukan tiru Hollywood bulat-bulat,” katanya lagi.
Terdahulu, Astro Shaw melancarkan video terbaharu ASCU: Kitab Kataha yang kini mencetuskan pelbagai teori dan persoalan dalam kalangan peminat dunia sinematik tempatan.
Video berdurasi satu minit 52 saat itu menampilkan karakter misteri bersama sebuah kitab bersimbol segitiga yang dipercayai mempunyai kaitan besar dengan dunia ASCU.