Sekilas
- Gema Raya Putrajaya 2026@PICC akan berlangsung dari 15 Februari hingga malam 1 Syawal dengan lebih 300 usahawan dan hampir 1,000 peluang pekerjaan disediakan.
- Festival ini menggabungkan elemen budaya, gastronomi, hiburan, dan kerohanian di lokasi ikonik PICC, sambil menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026.
- Pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan seni, konsert mini, bengkel kraf, serta inisiatif kemanusiaan dan tradisi Malam 7 Likur turut diadakan.
Gema Raya Putrajaya 2026@PICC bakal mencipta sejarah sebagai festival raya terbesar pertama yang berlangsung di puncak tertinggi Putrajaya apabila membuka tirai Februari tahun depan.
Festival ini dianjurkan oleh Raydiates Blue Sdn. Bhd. dan diketuai Pengarah Urusannya, Rayme Zainal, yang memilih Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sebagai lokasi utama kerana statusnya sebagai bangunan ikonik berteknologi tinggi dengan fasiliti bertaraf antarabangsa.
Rayme berkata festival mega itu dijangka memberi limpahan rantaian ekonomi dengan menghimpunkan lebih 300 usahawan serta mewujudkan hampir 1,000 peluang pekerjaan.
Ia juga menjadi platform untuk mengangkat Putrajaya sebagai destinasi perayaan utama negara.
“Menjadi ruang pertemuan budaya, komuniti dan pelancongan, Gema Raya Putrajaya 2026@PICC bukan sekadar bazar tetapi turut mengangkat warisan negara menerusi busana kebaya dan batik Edisi Ramadan Raya yang menjadi identiti seni tekstil negara.
"Dengan sokongan pelbagai rakan rasmi, sebagai penganjur acara, kami mahu menjadikan festival ini satu pengalaman bermakna dan berimpak untuk masyarakat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) setiap kali menjelang Ramadan,” katanya.

Festival ini yang berlangsung dari 15 Februari hingga ambang malam 1 Syawal dianjurkan bersama PULSE Group dan PULSE Event Management (PEM), dengan Pulse Grande Hotel Putrajaya sebagai hotel rasmi.
Ia turut mengulangi kejayaan penganjuran Anjung Syawal Putrajaya 2025 yang merekodkan lebih satu juta pengunjung, 330 lot niaga serta jualan melebihi RM10 juta selama 33 hari.
Bertemakan 'Lebih Tinggi, Lebih Meriah, Lebih Raya', Rayme menjelaskan bahawa festival ini menjadi sebahagian acara utama yang menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui gabungan kerohanian, seni budaya, gastronomi, hiburan dan keusahawanan dalam suasana puncak bukit yang unik.

Festival tersebut menampilkan lebih 300 usahawan daripada pelbagai kategori seperti fesyen, tekstil, kraftangan, produk artisanal dan vendor gaya hidup.
Zon gastronomi pula memberi fokus kepada hidangan berbuka, moreh dan sahur melalui kolaborasi Grab & Go Cafe bersama Anjung E.A.T.S.
“E.A.T.S membawa maksud Experience, Appreciate, Taste & Share yang bakal menghimpunkan 20 usahawan yang menawarkan hidangan berbuka, moreh dan sahur dalam suasana ‘hilltop street food’,” katanya.

Menurut Rayme, festival turut diserikan program kerohanian seperti tazkirah dan solat terawih, persembahan seni budaya dan seni Islam, demonstrasi masakan, bengkel kraf, sesi ramah mesra selebriti, persembahan artis-artis terkenal serta konsert mini Syawal Showcase.
Beliau menambah bahawa persembahan runway, paparan tekstil dan kolaborasi bersama artisan dijangka menjadi tarikan utama pelancong domestik dan luar negara. Festival ini juga membawa inisiatif Infaq Ramadan serta kempen kemanusiaan The Pelita of Hope untuk bantuan Palestin.
“Turut dirancang sambutan tradisi bersama komuniti dan pengunjung, Malam 7 Likur di mana pelita akan menerangi kawasan bukit sebagai simbol harapan dan perpaduan,” katanya lagi.

Rayme turut memberi jaminan bahawa pengunjung tidak perlu bimbang mengenai kemudahan kerana PICC menyediakan 1,200 tempat letak kereta percuma dengan resit pembelian.
Surau luas dan selesa yang boleh menampung sehingga 300 jemaah juga disediakan bagi memudahkan pengunjung menunaikan solat sepanjang Ramadan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi +60135086807 atau +60123637723 serta mengikuti Instagram rasmi @GemaRayaPutrajaya@PICC dan @Raydiatesblue.
PICC yang terletak di Presint 5 merupakan bangunan bersimbolik diilhamkan daripada bentuk Pending Perak, tali pinggang pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Dibina antara 2001 hingga siap pada September 2003, PICC meliputi kawasan 135,000 meter persegi dengan pemandangan tasik Putrajaya dan Jambatan Seri Gemilang yang cukup memukau.