Sekilas
- Jaslinda Saludin, yang hilang selama dua minggu di Gunung Batu Putih, ditemukan dalam keadaan selamat pada Sabtu lalu.
- Penemuan Jaslinda berlaku kira-kira tiga jam selepas suami dan anak-anaknya menunaikan solat hajat di kaki gunung tersebut.
- Jaslinda ditemui di Kampung Lubuk Gaharu dan maklumat penemuan disampaikan oleh komuniti Orang Asli kepada pihak berkuasa.
Jaslinda Saludin, wanita yang hilang selama dua minggu di Gunung Batu Putih di sini dijumpai pada Sabtu lalu kira-kira tiga jam selepas suami dan anak-anaknya melakukan solat hajat di kaki gunung tersebut.
Perkara itu didedahkan suaminya, Haszman Othman, 61, yang berkata, dia dan dua anak Jaslinda, Nurin Darwisyah Mohd Faizal, 26, Dhia Damia Mohd Faizal, 21, melakukan solat hajat di kaki Gunung Batu Putih pada pada kira-kira pukul 2 petang Sabtu lalu.
Menurutnya, lebih kurang tiga jam kemudian, mereka dimaklumkan oleh pihak berkuasa Jaslinda sudah ditemukan dalam keadaan selamat.
“Pada hari tersebut, dua anak Jaslinda datang ke sini dari Kuala Lumpur. Saya bersama-sama mereka menunaikan solat hajat di kaki Gunung Batu Putih memohon Allah memudahkan usaha pencarian dan menemukan Jaslinda.
“Lebih kurang pada pukul 5.30 petang, kami mendapat berita Jaslinda sudah ditemukan dalam keadaan selamat. Allah makbulkan doa kami.
“Ia adalah hari yang terbaik bagi kami, Tuhan makbulkan doa kami, doa anak-anak, doa saudara mara dan netizen. Mungkin juga berkat anak-anak dia datang ke sini pada hari tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jaslinda yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih di sini sejak 23 Mei lalu ditemukan dalam keadaan selamat pada Sabtu lalu.
Dia ditemui di Kampung Lubuk Gaharu berhampiran Pos Musoh, dan penemuan itu dimaklumkan oleh komuniti Orang Asli setempat kepada pihak berkuasa.
Sumber: Utusan