Sekilas
- Jaslinda Saludin kini semakin sihat dan ceria selepas 14 hari hilang di hutan, dengan keluarganya melaporkan dia sudah mula makan semula walaupun dalam jumlah sedikit.
- Walaupun masih letih dan mengalami beberapa kecederaan ringan, Jaslinda menunjukkan perkembangan positif dan gembira berbual dengan keluarga di hospital.
- Keluarga memilih untuk terus mendapatkan rawatan di Hospital Tapah dan belum pasti bila Jaslinda akan dibenarkan keluar, bergantung kepada nasihat doktor.
Selepas 14 hari bertarung di hutan belantara, Jaslinda Saludin kini perlahan-lahan kembali menjalani kehidupan normal, dengan keluarganya menyifatkan beliau semakin ceria, kuat dan kembali berselera untuk makan.
Kakaknya, Jasima, 52, berkata Jaslinda sudah mula makan semula selepas hampir dua minggu tidak mendapat makanan mencukupi.
Jaslinda juga digambarkan begitu teruja menikmati hidangan walaupun doktor masih memantau keadaannya dengan rapi.
"Alhamdulillah, Jaslinda semakin sihat. Dia nampak lebih bertenaga sekarang dan sedikit lebih ceria. Dia mahu makan semuanya, yang memang boleh difahami selepas tidak makan selama 14 hari.
"Namun, keadaannya masih belum benar-benar mengizinkan, jadi kami hanya membenarkan dia makan dalam jumlah yang sedikit pada satu-satu masa," katanya ketika dihubungi hari ini.
Jasima berkata adiknya masih keletihan secara fizikal tetapi berada dalam semangat yang baik dan gembira berbual dengan ahli keluarga yang datang melawatnya di hospital.
Walaupun mengalami beberapa kecederaan sepanjang insiden itu, termasuk kecederaan ringan pada buku lali kiri serta luka pada badan, tangan dan kepala, keadaan keseluruhannya terus menunjukkan perkembangan positif.
"Dia masih letih, tetapi dia ceria dan mahu bercakap dengan kami semua. Setakat ini, dia berada dalam keadaan baik," katanya.
Jasima turut berkata keluarga tidak merancang memindahkan Jaslinda ke fasiliti perubatan lain di Selangor kerana beliau selesa menerima rawatan di Hospital Tapah.
"Dia selesa di sini dan kami berpuas hati dengan rawatan diberikan.
"Kami juga belum tahu bila dia akan dibenarkan keluar hospital kerana ia bergantung keadaan kesihatannya dan nasihat doktor," katanya.
Salah satu perkembangan paling melegakan, katanya ialah Jaslinda kini sudah mula tidur lena semula selepas pengalaman traumatik dilaluinya.
"Dia sudah mula tidur dengan baik. Alhamdulillah, kami sangat bersyukur," katanya.
Selepas dua minggu dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda ditemukan selamat di sebuah penempatan Orang Asli berhampiran Kampung Lubuk Gaharu di Pos Musoh pada Jumaat lalu.
Sumber: Berita Harian