Sekilas
- Zoey Rahman mencuba pengalaman pertama menulis lirik lagu raya berjudul Kita Dah Raya yang menggambarkan suasana Aidilfitri dari sudut pandang generasi muda.
- Lagu ini dinyanyikan secara duet oleh Zoey dan Elliza Razak selepas beberapa perbincangan dan proses rakaman di Platinum Studio, Damansara Perdana.
- Kita Dah Raya ciptaan RiaRaiba telah dilancarkan di semua platform digital mulai 6 Mac 2026 dan diterbitkan oleh ENIM Music serta diedarkan oleh Rusa Music.
Pelakon, pengacara dan usahawan Zoey Rahman mencuba sesuatu yang baharu dalam kerjaya seninya apabila tampil menulis lirik lagu raya berjudul Kita Dah Raya, sekali gus menandakan pengalaman pertama buatnya menghasilkan karya muzik sendiri.
Menurut Zoey, dia sendiri tidak menyangka mampu menulis lirik lagu selepas diminta oleh pengurusnya untuk menggambarkan suasana Aidilfitri dari sudut pandang generasi muda.
“Pada awalnya pengurus saya suruh saya tulis point point gambaran tentang suasana raya untuk golongan GEN Z yang tengah bercinta, bila siap saya serahkan pada pengurus saya dan diam diam dia ubah sana sini dan whatsapp kepada komposer Riaraiba.
"Esoknya pengurus saya whatsapp cakap ni demo lagu raya, kau kena nyanyi tapi kena berduet. Masa tu otak saya jem sekejap. Tapi bila saya dengar demo tu 2 kali, terus saya kata sedap lagu ni, why not aku cuba,” katanya.

Pada peringkat awal, pengurusnya Zafar mencadangkan penyanyi Anis Suraya sebagai pasangan duet. Malah selepas mendengar demo lagu tersebut, Anis turut memberikan reaksi positif.
Namun disebabkan kekangan masa menjelang Ramadan, mereka akhirnya membuat keputusan untuk mencari pasangan duet lain.
Selepas beberapa perbincangan, Zoey akhirnya memilih untuk bergandingan dengan penyanyi Elliza Razak bagi menjayakan projek tersebut.
Rakaman lagu Kita Dah Raya berlangsung di Platinum Studio, Damansara Perdana dan mengambil masa sekitar enam jam untuk disiapkan dengan bantuan jurutera bunyi Mr. Choy atau Illegal serta Nine Phyne Ballerz sebagai jurulatih vokal.
Elliza turut berkongsi keterujaannya apabila diajak menyertai projek tersebut, lebih-lebih lagi kerana hubungannya dengan Zoey yang sudah lama terjalin.
“Mula mula dapat call dari Zafar dia tanya saya, kau nak tak join projek gila, projek last minute . Dan bila dia dah terangkan ini projek lagu raya berduet dengan Zoey, Saya rasa sangat teruja sebab kami Kawan yang dah lama tak berjumpa.
"Bila kami jumpa semula untuk pertama kali berbincang, semua kenangan masa kami lepak sama dulu keluar satu persatu. Dan sebab kami dah memang rapat, so chemistry untuk berduet tu memang ada. Maka mudahlah untuk kami bekerjasama,” kata Elliza.
Tambahnya lagi, dia turut membantu Zoey sepanjang proses rakaman bagi memastikan sesi vokal berjalan lancar.
“Selain bantuan Nine di studio. Saya turut bantu untuk vocal guide dan bagi semangat pada Zoey. Mula mula dia memang Nervous, but lama sikit roh dia baru masuk maka mudahlah proses rakaman vokal lagu ni,” katanya.
Lagu Kita Dah Raya, ciptaan RiaRaiba dengan lirik oleh Zoey Rahman, telah dilancarkan di semua platform digital bermula 6 Mac 2026.
Lagu Kita Dah Raya diterbitkan oleh ENIM Music dan diedarkan oleh Rusa Music.