Skip to main content

Viral

Tragedi Bas UPSI: Aidilfitri Tanpa Nurly, Ayah Simpan Baju Lama Pengubat Rindu - "Selalunya Arwah Akan Sibuk Pasang Pelita Minyak Tanah Keliling Rumah..."

Astro Gempak nurly

Sekilas

  • Keluarga Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman merasai suasana Aidilfitri yang berbeza tanpa kehadiran anak mereka yang sering menceriakan sambutan raya.
  • Azman dan keluarganya masih mengingati dan merindui Nurly melalui pakaian dan kenangan manis, manakala kubur arwah sering diziarahi terutama pada bulan Ramadan.
  • Nurly, 23 tahun, meninggal dunia dalam kemalangan tragis melibatkan bas pelajar UPSI di Gerik, Perak, meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga dan sahabat handai.

Aidilfitri tahun ini pastinya membawa suasana yang berbeza buat keluarga Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman, salah seorang mangsa tragedi kemalangan membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bapanya, Azman, mengakui sambutan Hari Raya kali ini tidak lagi sama tanpa kehadiran anak tersayang yang sebelum ini sering menceriakan suasana keluarga setiap kali Aidilfitri menjelang.

“Selalunya menjelang Aidilfitri, arwah akan sibuk pasang pelita minyak tanah di sekeliling rumah.

"Suasana Aidilfitri kali ini memang berbeza tanpa Nurly. Biasanya dialah yang paling teruja membuat persiapan raya bersama keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita.

Katanya, arwah anak bongsu daripada lima beradik itu juga seorang yang suka memasak serta gemar menjamu orang dengan masakan air tangannya.

"Dia sangat rapat dengan sepupunya, setiap kali balik kampung dia akan memasak dan panggil sepupunya itu datang makan di rumah.

"Selepas ketiadaan arwah, sepupunya itu mengambil koleksi pakaian arwah untuk dipakai harian dan setiap kali melihat anak saudara (sepupu arwah) pakai baju Nurly saya terasa seperti dia masih ada," katanya.

Sementara itu, Kamariah berkata, walaupun Nurly sudah meninggal dunia lebih sembilan bulan lalu, masih ada orang yang datang menziarahi kuburnya.

"Selalunya setiap pagi selepas balik masjid, saya dan suami akan pergi untuk membersihkan kubur tetapi pada bulan Ramadan ini kami biasanya pergi waktu petang," katanya.

Menurut Azman, bagi mengubat kerinduan terhadap arwah anaknya, dia masih menyimpan pakaian lama milik Nurly yang pernah dipakai sebelum ini.

“Baju lama arwah itu saya simpan. Kadang-kadang bila rindu, saya tengok baju itu saja untuk lepaskan rindu,” katanya.

Allahyarhamah Nurly Shahirah, 23, merupakan antara mangsa yang terkorban dalam kemalangan tragis melibatkan bas yang membawa pelajar UPSI di Jalan Raya Timur Barat berhampiran Gerik, Perak.

Kejadian tersebut bukan sahaja meragut nyawa beberapa pelajar, malah meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa yang terpaksa menerima kehilangan orang tersayang secara tiba-tiba.

Walaupun masih bersedih dengan pemergian anaknya, Azman berkata dia reda dengan ketentuan Ilahi dan cuba meneruskan kehidupan seperti biasa bersama ahli keluarga lain.

Baginya, kenangan bersama arwah akan sentiasa kekal dalam ingatan, lebih-lebih lagi apabila Aidilfitri menjelang yang sering menjadi detik paling bermakna buat keluarga mereka.

Sumber: BH Online

Anda mungkin berminat dengan

Nike Brasilia Training Duffel Bag

Nike Brasilia Training Duffel Bag

Jordan Club Hat

Jordan Club Hat

Nike Sportswear Futura

Nike Sportswear Futura

HABIB 999 24K Yellow Gold Pendant (Butterfly) 9GP008

HABIB 999 24K Yellow Gold Pendant (Butterfly) 9GP008

HABIB 916 22K Yellow Gold Charm 6800027Y

HABIB 916 22K Yellow Gold Charm 6800027Y

NAIL STICKERS 5D Nail art sticker

NAIL STICKERS 5D Nail art sticker

Must-Watch Video

Advertisement