Skip to main content

Hiburan

Tular Kerana Buah Zuriat Sewaktu Tunai Umrah, Erra: “Saya Tahu 80% Tidak…”

Erra Fazira

Pasangan pengantin baharu, Erra Fazira dan suami, Ezwan Zain sempat tular gara-gara tindakan bergambar dengan sejenis buah yang dikenali sebagai buah zuriat sewaktu menunaikan umrah baru-baru ini.

Ditemui sehari selepas pulang ke tanah air, primadona filem melayu tanah air alaf baru itu menjelaskan ia adalah tindakan spontan dan gurauan daripada suaminya tanpa mempunyai maksud yang serius.

“Saya pun tidak tahu itu buah zuriat, tiba-tiba dia suruh ambil gambar. ‘Ambil apa tu?’ Apapun saya anggap itu gurauan.

“Saya sudah set otak, macam tidak sesuai (hamil). Tapi kalau Allah sudah berkehendak, berkehendaklah,” ujar Erra dan Ezwan selepas ditemui pada majlis pembukaan outlet Cluck’n Cone di Jalan Changkat, Bukit Bintang,  hari ini.

Pasangan yang bergelar suami isteri pada 12 Disember lalu itu hadir bagi melancarkan premis makanan segera milik bumiputera terbabit sebagai tanda sokongan.

Ezwan yang juga merupakan pengusaha Kueh Cafe pula mengakui tindakan yang dibuat kepada isterinya hanya bertujuan mengusik.

“Saya memang suka mengusik Erra, ia hanya satu gurauan. Sebab saya pun terkejut, saya pun tak pernah tahu nama buah itu buah zuriat,” katanya sambil ketawa.

Berbicara lanjut mengenai perancangan keluarga termasuk menimang cahaya mata, Erra dan Ezwan mengaku sejak awal sudah sepakat untuk tidak meletakkan harapan tersebut.

Erra malah cukup realistik dengan usianya yang sudah mencecah 51 tahun tahun sementelah beliau dan Ezwan masing-masing pernah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan menerusi perkahwinan sebelum ini.

“Sejak awal sewaktu menuju pernikahan, kita tidak fikir ke arah itu pun. Saya pernah tanya Ezwan ‘you nak anak ke? Kalau nak anak, better nikah dengan perempuan lebih muda. Saya awal-awal sudah cakap.

“Saya tahu 80 peratus itu (mendapat anak) tidak. Di usia saya pun, doktor juga ada nasihatkan untuk usia saya, adalah lebih baik tidak (hamil). Untuk usia, kesihatan saya dan anak. Ini adalah nature.

“Tapi macam saya cakap siapalah kita untuk menidakkan kehendak Allah. Dan saya tidak sedih,” jelas Erra panjang lebar.

Sementara itu bercakap tentang menunaikan umrah pertama kali sebagai suami isteri, pasangan tersebut melahirkan rasa bersyukur dan menyifatkan ia perjalanan kerohanian, bukan bulan madu.

“Alhamdulillah kami dapat menunaikan umrah buat pertama kali sebagai suami isteri. Sambut ulang tahun Ezwan di sana dan saya tidak sifatkan umrah sebagai bulan madu.

“Bulan madu nanti kita pergi tempat lain,” ujar Erra.

Erra dan Ezwan yang selamat diijabkabulkan pada 12 Disember 2025 masing-masing memiliki seorang zuriat daripada pernikahan lampau.

Erra memiliki seorang anak perempuan, Engku Aleesya hasil pernikahan kedua bersama Engku Emran manakala Ezwan dikurnai puteri yang diberi nama Dania Sofea.

Must-Watch Video

Advertisement