Penyanyi, Ariff Bahran meluahkan rasa kesal selepas di tipu oleh seorang penganjur konsert yang mahu membawa kumpulan popular Indonesia, Sheila On 7.
Menerusi satu sesi siaran langsung di media sosial, Arif atau nama sebenarnya Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari berkata, kejadian itu memberi kesan besar terhadap emosi dan kehidupannya sehingga membuatkan dia trauma untuk terlibat dalam sebarang penganjuran acara selepas ini.
“Saya dah taubat, saya tak nak buat lagi. Kalau ada apa-apa event ke, konsert ke saya akan buat dengan kawan-kawan saya sahaja.
“Buat masa ini saya hanya nak selesaikan masalah ini, saya dah pening dan dia tengah tengok (live) ini sekarang,” kata Ariff.
Dalam pada itu, Ariff turut mendedahkan individu yang didakwa melakukan penipuan tersebut merupakan seorang wanita yang hadir berjumpanya bersama empat orang adik-beradik.
“Penipu itu wanita, dia datang jumpa saya dengan empat orang adik beradik dan benda tu dia tipu kita buta-buta.
“Buat masa ini saya tak boleh nak dedahkan muka dia,” tambahnya.
Ariff juga menunjukkan bukti cek yang pernah diberikan oleh wanita terbabit namun sehingga kini wang yang dijanjikan masih belum dikembalikan.
Terdahulu, Ariff Bahran mendakwa dia dan rakan-rakannya mengalami kerugian sebanyak RM425,000 selepas menyerahkan wang kepada pihak penganjur bagi tujuan menganjurkan konsert Sheila On 7 di Malaysia pada tahun lalu.
Bagaimanapun, konsert berkenaan gagal direalisasikan dan walaupun pihak penganjur berjanji untuk memulangkan semula wang tersebut, Ariff mendakwa sehingga kini tiada sebarang bayaran diterima walaupun sudah lebih setahun berlalu.