Sekilas
- Hussain dari Talk To My Manager 2 menafikan dakwaan pengurusannya bersikap kurang mesra dan sukar bekerjasama dengan pihak lain.
- Dia mengakui masih dalam proses menyesuaikan diri dengan industri dan berusaha keluar dari zon selesa serta rasa malu yang dialami.
- Hussain mengambil komen negatif sebagai motivasi untuk memperbaiki diri dan kini lebih berani selepas memasuki minggu kelima dalam industri.
Bintang Talk To My Manager 2 (TTMM2), Hussain menafikan dakwaan pihak pengurusan bersikap kurang mesra dan sukar memberikan kerjasama beberapa pihak.
Menurut Hussain, dia masih lagi cuba menyesuaikan diri dan memikul segala kesalahan yang dikatakan oleh netizen.
“Tak betul. Cuma diri saya sahaja yang masih belum keluar daripada kelompok rasa malu. Jadi malam ini (Ahad) saya buktikanlah yang manager saya buat kerja, assistant manager buat kerja, semua orang buat kerja. Cuma saya sahaja yang masih tak nak keluar daripada perasaan malu itu.
“Sekarang saya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan industri. Memang betul, saya agak kekok sedikit. Jadi saya cuba memperbaiki diri saya.
“Saya memang marah apabila benda yang tak betul diperkatakan. Mereka petik nama bapa dan orang sekeliling saya, padahal diri saya sahaja yang masih belum improve. Bapa saya cuma buat kerja dia sahaja,” katanya kepada Gempak.
Hussain juga mengakui masih cuba memberikan yang terbaik dan cuba keluar daripada zon selesanya.
“Mereka semua sebenarnya banyak beri idea kepada saya. Cuma saya sendiri yang masih belum tunjukkan kemampuan sepenuhnya. Jadi kepada yang tengok video atau baca di Threads, dakwaan tersebut tak betul. Saya akui, memang itu salah saya juga sebab masih lagi segan.
“Tapi bila saya baca banyak komen sebegitu, memang ada rasa nak berubah. Ada kawan saya yang hantar perkongsian itu kepada saya. Memang saya marah, sampai saya buat siaran langsung dan persoalkan siapa yang buat cerita tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hussain juga mengakui segala spekulasi yang timbul tidak terlalu menggangu emosinya dan menganggap ia hanya sebagai pembakar semangat untuk memperbaiki dirinya.
“Secara peribadi, benda itu taklah terlalu mengganggu mental saya. Sebaliknya beri saya semangat untuk buktikan yang saya boleh buat lebih baik lagi.
“Sekarang dah masuk minggu kelima dan bagi saya rasa malu itu dah semakin hilang. ‘Urat malu’ dalam diri saya dah putus. Jadi sekarang saya rasa lebih berani,” katanya lagi.
Terdahulu, timbul dakwaan mengatakan pengurus Hussain kurang disenangi segelintir pihak kerana dikatakan terlalu tegas selain sukar memberi ruang kepada media untuk mendekati penyanyi itu bagi sesi temu bual.
Malah, terdapat juga dakwaan kononnya setiap urusan perlu melalui tapisan tertentu dan mengikut standard yang ditetapkan selain kenyataan dipercayai dikeluarkan pihak pengurusan berbunyi, “We don’t do photoshoot”.