Sekilas
- Ani Mayuni dan Viviana dari Talk To My Manager 2 terkejut apabila masih kekal di tempat pertama pada minggu ketiga persembahan.
- Ani menggunakan pengalaman sendiri untuk bereksperimen dan keluar dari zon selesa, manakala Viviana pula belajar dan cuba pelbagai gaya baru.
- Viviana berjaya memikat juri dengan lagu Bintang dan mereka mendapat markah tinggi sebanyak 84.33% daripada juri.
Pasangan Talk To My Manager 2 (TTMM2), Ani Mayuni dan Viviana mengakui terkejut selepas mengetahui masih mengekalkan kedudukan di tempat pertama untuk persembahan pada minggu ketiga.
Menurut Ani, dia sendiri tidak menyangka percubaan mereka untuk keluar daripada zon selesa membuahkan hasil yang memberangsangkan daripada pihak juri.
“Ya ke? Ya Allah, tak sangka sebab saya hanya guna pengalaman saya. Sebab orang dah tahu, orang cop saya penyanyi dangdut, saya tak ada boleh buat apa dah. I dah stereotype orang kata I dangdut.
“Jadi, eksperimen saya adalah pada Viviana sebenarnya. Tapi saya kata, inilah masa untuk nak explore, belajar, try and error. Kalau orang suka, you teruskan.
"Kalau you tak suka, esok nanti kita cubalah ubah. Sebab ini, dia belajar sambil itu saya juga berkarya kat situ. Alhamdulillah, juri profesional... ya Allah akak terkejutlah! Tak sangka,” katanya kepada Gempak.
Sementara itu, Viviana meluahkan rasa syukur apabila segala usaha kerasnya bersama keluarga akhirnya membuahkan hasil.
“Alhamdulillah, tak sia-sia usaha saya dengan usaha mak saya juga. Usaha mak saya juga, serta famili, rakan-rakan dan juga yang selalu support dan mendoakan.
“Saya boleh cakap yang saya takkan ada kat tahap ni tanpa support daripada semua orang, terutama famililah,” ujarnya.
Viviana berjaya menambat hati juri menerusi persembahannya dengan menyampaikan lagu Bintang, nyanyian asal Budak Kacamata.
Menerusi persembahan itu, Viviana dan Ani Mayuni berjaya memperoleh markah 84.33% daripada barisan juri.