Sekilas
- Aina Abdul jelaskan penggunaan ejaan lagu terbaharunya, 'Berjauh-an', sebagai konsep artistik walaupun tidak tepat dari segi tatabahasa.
- Tanda sempang dalam tajuk lagu melambangkan perpisahan yang sangat jauh dalam hubungan.
- Aina minta orang ramai jangan terlalu serius kerana ia hanya pendekatan kreatif dalam karya seni dan lagu ini ciptaan sepenuhnya oleh dirinya.
Penyanyi dan komposer , Aina Abdul tampil memberi penjelasan susulan kekeliruan segelintir pihak berhubung penggunaan tajuk lagu terbaharunya, Berjauh-an yang dilihat tidak menepati tatabahasa Bahasa Melayu.
Menerusi satu hantaran di Threads, Aina mengakui penggunaan ejaan tersebut sememangnya tidak tepat dari sudut tatabahasa, namun menegaskan ia dibuat sebagai satu konsep artistik bagi menggambarkan maksud yang lebih mendalam.
“Well to clarify this. Yes, tatabahasa wise memang tak betul pun. Tapi dash di tengah itu hanyalah satu ‘konsep’ untuk comeback ini,” jelasnya.
Menurut pelantun lagu Berjauhan itu, pemisahan perkataan dengan tanda sempang melambangkan perpisahan yang jauh dalam sesebuah hubungan.
Dalam masa sama, Aina turut meminta agar orang ramai tidak terlalu serius dalam menilai perkara tersebut kerana ia sekadar pendekatan kreatif dalam karya seni.
“Ia untuk menggambarkan perpisahan. ‘Berjauhan’ itu biasa pada pandangan saya, jadi kita letak ‘Berjauh-an’. Ini menunjukkan hubungan itu benar-benar sudah jauh, jauhh sangat.
“Don’t take it seriously lah, just a concept. “Mak saya bekas penggubal soalan UPSR Bahasa Melayu, setakat ini dia tak question lagi pun. Jadi okay je kot,” ujarnya.
Sekadar info, Berjauhan menjadi buah tangan terbaharu Aina bagi tahun 2026 selepas melancarkan dua buah lagu iaitu Sesaat dan Ayuh Pulang, sebuah lagu duet bersama Amir Jahari pada tahun 2025.
Single ini juga merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Aina sendiri.