Sekilas
- Adira Suhaimi kecewa kerana bekas suaminya, Datuk Red, meletakkan syarat wang RM100,000 dan pengguguran saman sivil untuk membatalkan kes pengesahan lafaz rujuk.
- Adira menegaskan dia tidak bersetuju dengan tuntutan tersebut kerana dia bekerja keras dan tidak pernah menyusahkan bekas suaminya.
- Kes saman sivil berkaitan tuntutan hutang yang dibuat Adira masih dalam prosiding dan akan disambung pada 25 Jun di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat.
Penyanyi Adira Suhaimi meluahkan rasa terkilan apabila bekas suaminya iaitu Datuk Red yang didakwa meletakkan syarat bagi membatalkan kes pengesahan lafaz rujuk terhadap dirinya.
Adira berkata bahawa Datuk Red telah memintanya wang berjumlah kira-kira RM100,000 dan pengguguran saman sivil sekiranya penyanyi tersebut ingin membatalkan kes rujuk tersebut.
"Saya sangat terkilan juga atas tuntutan yang Datuk Red kemukakan terhadap Adira juga. Dua tiga hari sebelum ini, dia ada buat tuntutan yang mana dia boleh mengaku depan hakim yang rujuk ini tidak berlaku, tapi kena ikut syarat dia.
"Syaratnya adalah untuk gugurkan saman sivil saya terhadap dia iaitu berkaitan tuntutan hutang. Dan juga, dia nak saya bagi dia RM100,000 untuk batalkan kes rujuk ini.
"Itu adalah antara syarat yang dia bagi kepada saya. Tapi malangnya, saya tidak bersetuju sebab saya kerja pagi petang siang malam, ada tanggungan dekat rumah dan saya juga tidak pernah menyusahkan dia.
"Tergamaklah dia? Sanggup dia bagi tuntutan macam itu terhadap bekas isteri dia. Tuntutan dekat saya itu memang tak patutlah," katanya kepada Gempak.
Adira mendedahkan perkara itu ketika ditemui selepas perbicaraan kes rujuk di antara mereka di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Selangor pada Khamis.
Mengulas lanjut mengenai saman sivil yang dibuatnya selepas mereka bercerai, Adira berkata bahawa jumlah yang dipinjam oleh Datuk Red mencecah ribuan dan menekankan dia hanya ingin menuntut haknya.
"Untuk saman sivil itu berkenaan dengan tuntutan hutang tu, saya dah failkan tahun lepas. Tuntutan hutang ini sebenarnya adalah duit pinjaman dia selepas bercerai.
"Saya minta dia bayar balik. Bukan sikitlah, ratusan ribu. Dia masih dalam prosiding lagi sebab saya rasa Datuk Red punya nama pun bankrap kan, jadi ada langkah yang kami perlu lalui untuk buat proses ni berjalan dengan lancar," ujarnya.
Untuk info, kes tersebut ditangguhkan kepada 25 Jun depan bagi mendengar kenyataan daripada defanden iaitu Adira.