Sekilas
- Baim Wong terharu selepas menonton video tular yang menunjukkan seorang ‘pomen’ membantu pemuda bernama Dicky yang mengalami kerosakan motor di tepi jalan tanpa mengenakan bayaran.
- Baim merasakan kejujuran Dicky melalui nada suaranya yang menolak bantuan percuma walaupun dalam kesusahan.
- Baim berhasrat menjemput Dicky sebagai tetamu istimewa ke tayangan perdana filemnya yang akan datang.
Pelakon, Baim Wong mengakui dirinya tersentuh selepas menonton satu video tular yang merakamkan seorang pemuda menerima pertolongan dari seorang ‘pomen’ ketika berdepan dengan situasi motor rosak di tepi jalan.
Baim menerusi hantaran di akaun Instagramnya berkata dia dapat merasai kejujuran pemuda tersebut melalui nada suara yang didengarnya apabila menolak untuk menerima bantuan ‘pomen’ tersebut secara percuma walaupun berada dalam kesusahan.
“Ini bukan promo filem. Satu video buat saya rindu akan sesuatu. Dari suaranya saya tahu dia tulus, bukan karena kamera,” coretnya.
Dalam pada itu, Baim juga turut menyatakan hasrat untuk menjemput pemuda yang dikenali sebagai Dicky itu untuk menjadi tetamu istimewa ke acara tayangan perdana filemnya akan datang.
“Semoga dia mahu menjadi tamu istimewa saya untuk datang ke premiere filem,” tulisnya.
Terdahulu, seorang ‘pomen’ yang menggunakan nama sebagai Minyak Hitam Jalanan menyorot perhatian apabila berkongsi momen dirinya membantu Dicky yang kerosakan motor pada tengah malam.
Apa yang menyentuh hati ialah ‘pomen’ berkenaan memilih untuk tidak mengenakan sebarang bayaran kepada Dicky yang ketika itu dilihat dalam keadaan seperti kesempitan wang.
Sumber: Instagram @baimwong