Sekilas
- Syasya Rizal berkongsi bahawa kahwin muda bukan bermakna hilang keseronokan hidup, sebaliknya membuka peluang untuk belajar dan menjadi individu lebih baik bersama pasangan.
- Syasya mengakui kehidupan selepas berkahwin dan bergelar ibu memerlukan komitmen tinggi serta rutin harian yang padat.
- Pengalaman berumah tangga mematangkan Syasya dan dia percaya setiap fasa kehidupan ada keindahan tersendiri.
Penyanyi, Syasya Rizal berkongsi pandangannya mengenai kehidupan selepas mendirikan rumah tangga pada usia muda.
Menerusi perkongsian di media sosial, Syasya berpendapat tanggapan bahawa berkahwin awal akan menghilangkan keseronokan hidup di usia muda adalah tidak tepat.
Sebaliknya kata Syasya, perkahwinan di awal usia banyak mengajarnya membuka ruang bersama pasangan untuk belajar dan menjadi individu yang lebih baik.
“Orang ingat kahwin muda terus fun life habis. Tapi tak ada sesiapa pun berkata tentang bagaimana kita belajar dan mencuba untuk menjadi versi kita yang lebih baik secara bersama,” coretnya.
Dalam masa sama, Syasya juga tidak menafikan kehidupan selepas berkahwin dan bergelar ibu menuntut komitmen yang tinggi, termasuk rutin harian yang padat serta tanggungjawab yang semakin bertambah.
Bagaimanapun kata Syasya, setiap fasa kehidupan mempunyai keindahan tersendiri dan pengalaman berumah tangga telah banyak mematangkan dirinya berbanding sebelum ini.
“Siapa kata kahwin muda dan ada anak tu tak best? Orang nampak penat, busy dan no sweet sweet time dah.
“But fasa ini sebenarnya buat kita jadi lebih matang. Tak sama macam dulu, but better. Insya-Allah,” coretnya.
Untuk rekod, Syasya mendirikan rumah tangga bersama suami, Nasrullah Mohd Sapie pada 20 April 2024.
Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Yassir Hayyan dan Yara yang dilahirkan hujung tahun lalu.
Sumber; TikTok @syasya.rzl