Sekilas
- Pengarah Syafiq Yusof tidak mempunyai masalah dengan penggunaan AI dalam filem, tetapi masih belum berani guna sepenuhnya kerana teknologi itu masih baru dan belum mampu hasilkan filem tanpa penggambaran sebenar.
- Syafiq melihat AI sebagai ruang eksperimen yang positif walaupun ada kebimbangan ia menggantikan tenaga manusia, dan menegaskan kepuasan visual dan realistik tetap keutamaan dalam karya filem.
- Filem aksi Black Ops bakal menjadi kolaborasi pertama antara produksi Malaysia dan Hong Kong, diarahkan oleh Syafiq Yusof dan Chui Tze Yui, dengan pelakon dari kedua-dua negara, dijangka tayang pada akhir 2026.
Pengarah filem, Syafiq Yusof menyatakan dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam industri perfileman, malah menganggapnya sebagai satu ruang eksperimen yang wajar diterokai.
Bagaimanapun, Syafiq mengakui buat masa ini dia masih belum berani menggunakan AI secara menyeluruh dalam filem arahannya sendiri kerana teknologi tersebut masih berada di peringkat awal.
“Saya rasa tak ada masalah. Dulu masa CGI belum popular pun ramai cakap CGI tak original. Sama juga masa internet mula wujud, masa televisyen diperkenalkan, orang kata ambil alih panggung wayang,” katanya.
Menurut Syafiq, isu utama berkaitan AI ketika ini adalah kerana teknologinya yang masih baharu dan belum mampu menghasilkan sesebuah filem sepenuhnya tanpa penggambaran sebenar.
“Masalah utama AI sekarang ni sebab ia masih baru. AI belum boleh buat filem penuh tanpa kita shooting,” jelasnya.
Syafiq berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran filem Black Ops di Wisma Ekran, pada Selasa.
Mengulas mengenai pihak yang sudah mula menggunakan AI dalam produksi, Syafiq melihat perkara itu dari dua sudut berbeza iaitu positif dan negatif.
“Kalau ada yang guna AI, itu sebenarnya satu eksperimen. Negatifnya orang kata nak potong masa dan tenaga manusia. Tapi positifnya, kita boleh tengok sebagai satu eksperimen asli.
“Dalam software VFX sekarang, memang dah ada plugin AI. At least 20 hingga 30 peratus memang ada elemen AI dalam program tersebut. Tapi untuk buat ‘full shot’ menggunakan AI sepenuhnya, bagi saya tak sesuai sebab boleh nampak dan boleh rasa,” ujarnya.
Syafiq turut menegaskan kepuasan visual dan realistik masih menjadi keutamaan dalam sesebuah karya.
“Kalau saya tak puas hati, saya tak akan guna. Kalau AI itu boleh hasilkan shot yang betul-betul realistik, mungkin lain cerita,” katanya.
Dalam masa sama, Syafiq menyeru industri kreatif tempatan agar tidak terlalu ego dan bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.
“Kita negara kecil. Kita tak boleh ada ego yang tinggi. Kita kena adaptasi. Kita dah ketinggalan zaman dotcom, dah ketinggalan banyak benda. Kalau kita ego, kita akan terus ketinggalan.
“Bila AI wujud, ia akan tertumpah ke semua industri. Sebenarnya bagus Malaysia at least ada orang yang berani eksperimen. Walaupun orang cakap buruk, sekurang-kurangnya kita boleh tengok apa yang boleh diperbaiki. Kalau tak, lagi pelik orang akan kata Malaysia tak guna AI langsung,” ujarnya.
Syafiq turut percaya penggunaan AI akan menjadi lebih meluas pada masa hadapan.
“Siapa yang guna AI sekarang ni sebenarnya buat percubaan yang berani. Saya rasa dalam empat atau lima tahun lagi, AI dah boleh hasilkan filem dan masa tu kita akan tengok lebih ramai orang guna AI, termasuk mereka yang sekarang ni tak suka AI,” katanya.
Menerusi perkembangan lain, produksi Malaysia bakal berganding bahu dengan syarikat penerbitan tersohor Hong Kong menerusi filem aksi berskala besar berjudul Black Ops, yang dijangka menemui penonton di pawagam pada penghujung tahun 2026.
Filem terbitan bersama Skop Productions, Enotech, Komet Studios, Marvelous Culture & Film, Astro Shaw dan GSC itu turut melibatkan kerjasama One Cool Films milik bintang terkenal Hong Kong, Louis Koo, sekali gus menandakan kolaborasi pertama antara syarikat produksi Malaysia dan Hong Kong berkenaan.
Lebih mengujakan, Black Ops diarahkan oleh dua pengarah berkaliber tinggi iaitu Syafiq Yusof dari Malaysia dan Chui Tze Yui dari Hong Kong, menjadikan filem ini simbol hubungan kreatif sinema dua negara.
Sebagai projek bertaraf antarabangsa, Black Ops menghimpunkan barisan pelakon hebat dari Malaysia dan Hong Kong antaranya Sharnaaz Ahmad, Benjamin Yuen, Hisyam Hamid, Datuk Aaron Aziz, Andy Teh, Fauzi Nawawi, Elizabeth Tan, Anding Indrawani, MK K-Clique, Raja Afiq, Benjamin Tan, Ken Law (Super Ken), Sean Lin, Mathni Razak, Balan Kash, Ahirine Ahirudin, Azman Hassan serta pelakon kanak-kanak, Rania Amanda.