Sekilas
- Joe Taslim, pelakon aksi terkenal Hollywood, kini muncul dalam filem terbaharu berjudul The Furious.
- Walaupun sudah berjaya di peringkat antarabangsa, Joe berhasrat untuk terlibat dalam filem aksi arahan pengarah Malaysia.
- Filem The Furious mengisahkan usaha seorang usahawan dan wartawan mencari orang tersayang yang hilang, dengan tema aksi dan dendam.
Sudah membintangi banyak filem pecah panggung di pasaran Hollywood ternyata tidak merubah sikap dan ‘membuminya’ seorang bintang filem aksi bernama Joe Taslim.
Joe, 45, sebelum ini sangat terkenal dengan filem aksi seperti The Raid dan Mortal Combat kini menyapa peminat lewat naskhah terbaharu berjudul The Furious.
Meski sudah mempunyai pengalaman bekerja di pasaran Hollywood dan pernah diarahkan oleh sutradara tersohor dunia seperti Simon McQuoid, Gareth Evans dan Justin Lin, Joe mengaku sangat teringin terlibat dengan pembikinan filem Malaysia.
“Saya mahu jadi seperti Yayan Ruhian, bukan hanya main filem dunia tapi banyak main filem Malaysia juga.
“Saya mahu dan sudah pernah berbincang untuk terlibat dalam filem aksi yang diarahkan sutradara Malaysia. Semoga terjadi nanti (kerja dengan pengarah Malaysia),” kata Joe sewaktu ditemui di ibu kota.
Joe juga berharap The Furious dapat memberi inspirasi kepada pemain industri termasuk pengarah dan pelakon muda dari Malaysia untuk menghasilkan filem aksi yang berkualiti.
“Semoga filem ini memberi inspirasi kepada pembikin filem muda atau generasi kini, begitu juga pelakon filem aksi termasuk di Malaysia dapat menghasilkan karya yang baik seperti ini.
“Pokoknya kalau ada kesempatan, saya mahu berlakon filem aksi Malaysia,” katanya yang membawa watak seorang wartawan bernama Navin dalam filem The Furious.

Diarahkan oleh Kenji Tanigaki, The Furious mengisahkan seorang usahawan bernama Wang Wei yang berdepan detik cemas apabila anak perempuannya diculik oleh sindiket penjahat. Didorong oleh dendam dan kasih sayang, Wang Wei bekerjasama dengan Navin (Joe Taslim), seorang seorang wartawan yang gigih mencari isterinya yang hilang secara misteri.