Sekilas
- Konsert DEWA 19 - "CintaKu TerTinggal Di Malaysia" di Stadium Unifi Arena mendapat pelbagai reaksi peminat, terutama tentang persembahan Padi Reborn yang dianggap terlalu lama walaupun sudah dijelaskan sebagai jemputan khas.
- Ketiadaan vokalis Once dan pemain dram Tyo Nugros turut menjadi isu, namun kehadiran pengganti seperti Al Ghazali dan vokalis lain masih diterima oleh peminat setia.
- Walaupun ada kritikan tentang pemilihan lagu dan sistem bunyi, konsert tersebut tetap dianggap berjaya mencipta sejarah dengan membawa dua gergasi muzik Indonesia ini ke pentas yang sama di Malaysia.
Dua hari setelah usai Konsert DEWA 19 - "CintaKu TerTinggal Di Malaysia" yang dijadual berlangsung malam ini di Stadium Unifi Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 6 Jun lalu, media sosial terutama Threads masih dibanjiri pelbagai buah fikiran, luahan, pengalaman dan cadangan yang ditinggalkan peminat yang hadir.
Mereka berkongsi tentang keterujaan menjadi salah seorang ribuan penonton dalam kelompok peminat Dewa 19 atau dikenali sebagai Bala Dewa dan Bala Dewi atau Sobat Padi berasa tidak puas dengan persembahan artis jemputan khas, Padi Reborn dalam konsert anjuran Icon Entertainment itu.
Di sebalik keterujaan, ada juga yang melahirkan rasa tidak puas hati ; sama ada terhadap Padi Reborn yang disifatkan terlalu lama meski hakikatnya durasi masa satu jam adalah logik untuk persembahan lapan buah lagu. Ironi, Icon Entertainment tidak langsung menyembunyikan fakta tersebut.

Dalam promosi, dalam hebahan dan dalam laporan media, tertulis jelas Padi Reborn akan menjadi jemputan khas — bukan penyanyi pembukaan (dua pemahaman yang berbeza jika faham konsep).

Maka, lapan lagu yang dibuka dengan Sang Penghibur lalu diselitkan bersama lagu yang jarang dibawakan seperti Jangan Datang Malam ini adalah sebuah persembahan yang tidak pernah mengecewakan daripada Padi Reborn.

Jika faham kronologi sejarah ‘pertemanan’ antara Dewa 19 dan Padi Reborn, anda akan faham betapa langkanya momen yang terjadi pada malam bersejarah itu.

Juga, ada yang kecewa kerana salah seorang pemain drum Dewa 19, Tyo Nugros tidak hadir sama kerana terkandas di tahan pihak imigresen Indonesia di lapangan terbang mereka sewaktu mahu berangkat ke Malaysia. Namun kekecewaan itu cepat terubat dengan kelibat kacak anak Ahmad Dhani, Al Ghazali yang menggantikan posisi Tyo - melengkapkan permainan hebat Agung.

Kemudian ramai juga yang meluah rasa kecewa, marahkan Dhani dan berasa Dewa 19 sudah hilang spark’ selepas Once sang vokalis yang membuat kumpulan asal Surabaya itu bertambah popular di Malaysia tidak lagi bersama mereka, sekali gus tidak membuat persembahan dalam konsert tersebut.
Menurut pemuja Once, konsert malam itu tidak seronok tanpa Once, tapi masih juga berpuas hati sekurangnya dalam melihat vokalis Ello yang ‘bermain sensual’ dengan imejnya di atas pentas.
Ironi, ramai yang terlupa dan baru sedar Dewa 19 yang pertama kali debut di tahun 1992 telah menawan peminat lewat sang vokalis, Ari Lasso yang kemudian diganti Once ; sebelum Dhani membuat keputusan Dewa 19 tidak memerlukan vokalis tetap untuk bergerak lalu menggunakan khidmat Virzha, Ello dan Ari Lasso dalam kebanyakan konsert mereka. Jika untung, Once muncul ikut serta.
Jadi buat Bala Dewa dan Bala Dewi sejati, ketiadaan Once sudah dapat diterima, cuma ya, tinggal lagi ia seperti ada sesuatu yang tidak lengkap, terutama bagaimana pesona Once dengan tanpa ‘kerja keras berlebihan’ menawan peminat bersama untaian hit termasuk Arjuna dan Satu.
Okay, apa lagi yang sempat penulis baca. Oh ya, ramai juga yang berasa tidak puas mengenai sistem bunyi atau pemilihan lagu-lagu Dewa 19. Tiada Elang serta beberapa lagi lagu yang disifatkan peminat sebagai penting ; namun mustahil juga untuk Dewa 19 menyanyikan ratusan lagu yang ada dalam katalog mereka yang juga memiliki sejarah peribadi dalam kehidupan Bala Dewa Bala Dewi sejak mengenal karya mereka.
Namun, dengan Pupus, Cukup Siti Nurbaya, Pengeran Cinta, Larut, Risalah Hati, Kangen, Cintakan Membawaku Kembali, Dewi dan Sedang Ingin Bercinta - rasanya itu sudah cukup membuat seluruh stadium bergema dengan nyanyian bersama.
Dewa 19 tetap menjadi Dewa 19. Bunyi sedap atau tidak. Tiada gubahan baru atau tidak. Ada anggota yang datang latihan atau tidak. Semua mereka akan sempurnakan dengan sebaik mungkin. Sebab pengalaman yang Dewa 19 punya sudah tidak boleh dihitung lagi sehingga kelompongan-kelompongan yang wujud ditutup dengan bersahaja - begitu sahaja.

Dan tentang Konsert DEWA 19 - "CintaKu TerTinggal Di Malaysia" yang berlangsung pada malam itu, sama ada membekaskan rasa kecewa atau meninggalkan momen manis, semua perasaan itu valid atau sah untuk dirasai, kerana pada akhirnya apapun perasaan yang dirasai penonton yang memenuhkan Unifi Arena itu sudah melambangkan cinta Dewa 19 mahupun Padi Reborn sudah tertinggal di Malaysia.

Percayalah, penulis yakin, jika esok lusa ada penganjur umumkan konsert Dewa 19 di Malaysia tidak kisah dalam skala kecil atau besar, pasti laris.
Dan penulis juga percaya, selepas ini Padi Reborn akan datang dengan jemputan membuat konsert dalam skala besar kerana Sobat Padi di Malaysia juga bukan seorang dua.
Apapun, terima kasih buat Icon Entertainment kerana di sebalik banyak kecaman, di sebalik banyak rasa kurang puas hati, di sebalik kepayahan dan masalah yang orang tidak nampak, Konsert DEWA 19 - "CintaKu TerTinggal Di Malaysia" berlangsung cemerlang.
Anda sekali lagi berjaya mencetak sejarah - membawa Dewa 19 dan Padi Reborn pertama kali satu pentas di Malaysia. Pertama kali juga berjaya membuat perasaan peminat ‘huru hara’ tentang jemputan khas, reportori lagu dan ‘effortless’ konsep konsert kepada dua gergasi muzik Indonesia itu.
Semoga semua yang dilahirkan, diambil Icon Entertainment untuk dijadikan rujukan, penambahbaikan dan idea baharu untuk penganjuran konsert yang akan datang.

Kredit Foto: BANGSAWAN PICTURES