Sekilas
- Konsert A Tribute To Sharifah Aini di Dewan Filharmonik Petronas menampilkan empat penyanyi terkenal yang membawakan lagu-lagu ikonik Allahyarham Datuk Sharifah Aini dengan iringan Orkestra Filharmonik Malaysia.
- Persembahan penuh nostalgia ini diserikan dengan kenangan dan penghargaan daripada para penyanyi seperti Shiha Zikir, Asmidar, Salamiah Hassan, dan Datuk Khadijah Ibrahim.
- Konsert ini berjaya menghidupkan kembali karya-karya Sharifah Aini dan menunjukkan bahawa lagu-lagunya masih relevan dan dekat di hati peminat dari pelbagai generasi.
Bukan sekadar sebuah konsert penghargaan, A Tribute To Sharifah Aini yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC baru-baru ini berjaya membawa penonton mengimbau kembali kegemilangan karya-karya Allahyarham Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini.
Diiringi alunan muzik megah Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di bawah pimpinan konduktor Ahmad Muriz Che Rose, konsert tersebut menghimpunkan empat figura seni tanah air iaitu Datuk Khadijah Ibrahim, Salamiah Hassan, Shiha Zikir dan Asmidar yang menyampaikan lagu-lagu malar segar Allahyarham dengan cara tersendiri.
Malam penuh nostalgia itu dimulakan dengan persembahan Asmidar menerusi Seri Dewi Malam selain medley Di Pinggir Kayangan, Sayang Musalmah dan Gunung Banang yang berjaya menghidupkan kembali kenangan peminat terhadap karya-karya popular Sharifah Aini.
Salamiah Hassan pula memukau penonton dengan Tiada Maaf Bagimu dan Kenang Daku Dalam Doamu, manakala Shiha Zikir menyentuh hati menerusi Mawar Putih Untuk Mama serta medley Cahayamu Cahayaku, Seribu Mawar dan Ingatan Manis Di Bulan September.
Selepas rehat selama 20 minit, konsert diteruskan dengan deretan lagu ikonik termasuk Kekasih Pujaan, Di Malam Persandingan, Oh Di Mana, Yang Ditunggu Tak Tiba dan Surat Dari Seberang.
Shiha sekali lagi muncul menerusi medley Dekatlah Padaku, Hiburkanlah Hatiku dan Tiba-Tiba Rindu sebelum meneruskan persembahan dengan lagu Bunga Tanjung.
Salamiah pula membawa penonton menikmati sisi berbeza Sharifah Aini menerusi medley lagu Inggeris Forever And Ever, Will You Still Love Me Tomorrow dan I Have A Dream.
Sementara itu, kemunculan Datuk Khadijah Ibrahim terus mengundang sorakan penonton yang teruja melihat legenda berusia 67 tahun itu masih kekal bertenaga dan mantap di atas pentas.
Khadijah tampil membawakan Hapuslah Air Matamu, medley Terbang Helang, Kau Tinggi Di Awan Biru dan Rindu sebelum menutup persembahan solonya dengan lagu ikonik Kuda Ku Lari.

Kemuncak malam tersebut menyaksikan keempat-empat penyanyi bergabung di atas pentas menerusi lagu Seiring Sejalan yang mengundang tepukan gemuruh daripada penonton yang memenuhi dewan.
Berkongsi kenangan mengenai Allahyarham, Shiha yang merupakan protege Sharifah Aini menerusi program Mentor mengakui sehingga kini masih merindui figura yang dianggap seperti ibu sendiri.

“Umi seorang yang tegas dan sangat mementingkan kesempurnaan. Kalau saya letak cawan pun, dia pastikan saya letak semula dengan betul.
“Tapi walaupun tegas dan garang, dia juga seorang yang sangat nakal dan menyeronokkan. Saya masih ingat waktu kami naik jetski bersama, mula-mula dia bawa perlahan tetapi selepas itu makin laju sampai saya menjerit di belakang. Dia ketawa dan kemudian baru perlahan semula.
“Ketegasan itulah yang membentuk diri saya hari ini. Saya sangat merindui sifat keibuannya. Jika dia masih ada sekarang, saya rasa umi antara orang yang akan sentiasa melindungi saya,” katanya.
Asmidar pula mengakui dirinya berasa kerdil untuk berdiri di pentas sama kerana mempunyai hubungan yang paling sedikit dengan Allahyarham berbanding penyanyi lain.
“Saya rasa kerdil kerana antara kami berempat, saya yang paling kurang mempunyai hubungan dengan Tok Pah.
“Saya hanya berjumpa beliau tiga kali dalam hidup saya. Pertama ketika berusia lapan tahun dan kali kedua ketika menyertai Mentor. Alhamdulillah saya pernah menjadi peserta pilihan Tok Pah dan itu menjadi kenangan paling bermakna buat saya sebagai peminat,” katanya.
Sementara itu, Salamiah Hassan menyifatkan malam tersebut sebagai satu pengalaman yang tidak akan dilupakan.
“Saya sangat berbesar hati dan tidak akan melupakan malam ini.
“Sharifah Aini seorang yang romantik, sangat empati dan banyak berjasa kepada anak-anak yatim.
“Malam ini juga menjadi malam nostalgia buat saya kerana dapat kembali bekerjasama dengan ramai pemuzik hebat,” katanya.
Lebih daripada sebuah konsert tribute, A Tribute To Sharifah Aini berjaya membuktikan bahawa karya-karya Allahyarham masih terus hidup dan dekat di hati peminat merentasi generasi.