Sekilas
- Ella akan mengadakan konsert mega bertajuk ‘Majlis Tertinggi Rockqueen’ pada 14 Februari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan harga tiket bermula serendah RM39.
- Konsert ini mengangkat tema kemanusiaan dengan sumbangan amal melalui pilihan tabung Peace, Love, dan Rindu bagi setiap tiket yang dibeli.
- Tiket boleh dibeli mulai 8 Disember di www.hitmanlive.com, dengan misi memberi impak dan legasi berkekalan dalam aspek kemanusiaan.
Ratu Rock negara, Ella, kembali menggegarkan persada seni apabila mengumumkan konsert terbaharunya yang berskala mega, ‘Majlis Tertinggi Rockqueen’, bakal berlangsung pada tarikh istimewa, 14 Februari 2026, di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Konsert ikonik anjuran Hitman Solutions dan Rockqueen ini bukan sekadar pementasan biasa, malah mengangkat tema kemanusiaan yang mendalam serta menawarkan harga tiket yang mampu milik buat semua lapisan peminat.
Berbeza dengan kebanyakan konsert berskala besar lain, konsert ini bakal menjadi ‘konsert buat rakyat’, dengan harga tiket yang dimulakan serendah RM39!
Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, Rohit Rampal, menjelaskan keputusan menawarkan harga tiket serendah itu adalah sebahagian daripada misi ‘give back to the people’.
Lebih menarik, setiap pembelian tiket akan menyalurkan sumbangan amal.
“Setiap pembelian tiket akan dikehendaki untuk mengundi dan memilih tabung sumbangan pilihan mereka sama ada Peace (Persatuan Cinta Gaza Malaysia), Love (Yayasan Kebajikan Negara) atau Rindu (Yayasan Kebajikan Artis Tanahair).
“Setiap pilihan dan undian mengikut tema tersebut, organisasi berkaitan akan menerima sumbangan RM2 bagi setiap pilihan undian melalui tiket yang dibeli,” jelasnya.
Ella, yang bakal mencapai usia 60 tahun pada 2026, melihat konsert ini sebagai wadah untuk memberi impak dan legasi berkekalan khususnya dalam aspek kemanusiaan.
“Saya akan mencapai usia 60 pada tahun 2026, dan sudah tentu saya ingin memberi impak dan legasi berkekalan khususnya dalam aspek kemanusiaan. Majlis Tertinggi Rockqueen adalah terjemahan kepada sebuah gerakan yang mahukan ‘Peace, Love & Rindu’,” ujar Ella.

Penyanyi itu menjelaskan, ‘Peace’ melambangkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Gaza, ‘Love’ mengacu kepada isu buli di institusi pendidikan di Malaysia, manakala ‘Rindu’ didedikasikan kepada penggiat seni tanah air yang sentiasa berkarya demi industri.
Ella turut mengakui cabaran kembali di pentas sebesar Stadium Nasional Bukit Jalil selepas sekian lama, namun dia melihatnya sebagai suntikan azam dan pembakar semangat dirinya untuk terus berkarya selama hampir 40 tahun.
Peminat boleh mula mendapatkan tiket 8 Disember ini di www.hitmanlive.com untuk sama-sama menjayakan misi ‘Majlis Tertinggi Rockqueen’.
Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi penganjur di talian +6012-2655783 atau emelkan ke [email protected].