Sekilas
- Bront Palarae kembali beraksi dalam filem tempatan TARUNG: Unforgiven sebagai watak utama selepas projek antarabangsa di Thailand dan Indonesia.
- Filem ini menandakan reuni Bront bersama pengarah Razaisyam Rashid, yang sebelum ini bekerjasama dalam filem Pusaka (2019).
- TARUNG: Unforgiven dijangka ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 7 Mei 2026 dengan jalan cerita penuh aksi dan debaran.
Selepas aktif membintangi projek antarabangsa di Thailand dan Indonesia, pelakon terkenal Bront Palarae kini membuat kemunculan semula dalam filem tempatan menerusi TARUNG: Unforgiven sebagai barisan teraju utama.
Kemunculan pelakon berkenaan menarik perhatian ramai selepas poster teaser kelima filem tersebut dikongsikan menerusi media sosial Astro Gempak.
Poster tersebut memperlihatkan Bront duduk di atas sebuah takhta dengan tagline ‘Takhta Berdiri Atas Derhaka’.
Apa yang lebih menarik, kemunculan Bront kali ini dilihat sebagai satu ‘reuni’ bersama pengarah tersohor, Razaisyam Rashid.
Kali terakhir mereka bekerjasama sebagai adalah menerusi filem fenomena, Pusaka pada tahun 2019.
TARUNG: Unforgiven merupakan karya terbaharu arahan pengarah Razaisyam Rashid selepas kejayaan filem Pusaka serta fenomena siri Kahar: Kapla High Council yang mendapat sambutan hangat penonton.
Filem aksi tersebut dijangka membariskan pelakon hebat tanah air selain menjanjikan jalan cerita penuh debaran dan aksi.
Sekadar info, TARUNG: Unforgiven dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026.