Skip to main content

Viral

"Ramai Wanita Kalah Dengan Emosi..." - Madammu

madammu

Sekilas

  • Pengasas NOIR, Eriyca Baiduri, menekankan pentingnya kawalan emosi dalam perniagaan terutama bagi wanita yang memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
  • NOIR melancarkan Flagship Store pertama di Pavilion Bukit Jalil sebagai langkah strategik untuk berkembang dari platform digital ke pengalaman runcit fizikal dan persediaan ke arah IPO.
  • Jenama ini mensasarkan jualan RM30 hingga RM50 juta tahun ini dan RM100 juta pada tahun hadapan dengan fokus mengukuhkan pasaran tempatan dan kualiti produk.

Antara kesilapan terbesar wanita dalam dunia perniagaan ialah apabila mereka gagal mengawal emosi, sekali gus memberi kesan langsung terhadap prestasi perniagaan.

Menurut pengasas jenama kecantikan tempatan NOIR, Eriyca Baiduri atau lebih mesra disapa Madammu, emosi yang tidak stabil sering menjadi punca kejatuhan jualan selain membuat keputusan yang tidak rasional dan ia sering terjadi dalam kalangan wanita yang turut memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

“Ramai wanita kalah dengan emosi. Kalah dengan masalah rumah tangga, kalah dengan perasaan sendiri.

“Pernah berlaku, salah seorang usahawan saya (agen), tengah buat jualan, tiba-tiba bergaduh pula dengan suami, terus emosi terganggu dan jualan jatuh. Emosi ini sangat bahaya dalam bisnes.

“Kita kena jaga emosi, kena sayang diri sendiri dulu. Saya pun dulu beremosi, tapi kita kena belajar lawan dan betulkan mindset. Pilih circle yang betul. Kalau emosi tak dijaga, bisnes tak akan ke mana,” katanya pada majlis pelancaran flagship store pertama NOIR di Pavilion Bukit Jalil Sabtu lalu.

Mengulas mengenai pendekatan perniagaan, Madammu menegaskan kejayaan tidak boleh dibina atas rasa selesa atau ‘syok sendiri’, sebaliknya perlu berpandukan keperluan pasaran dan kepercayaan pengguna.

Dalam era digital pula, Madammu mengakui tidak semua perubahan mudah diterima, termasuk kemunculan platform seperti TikTok yang pada awalnya sukar difahami.

“Saya pun lambat faham game TikTok. Tapi lama-lama saya sedar, kita kena faham di mana kita berada. Hari ini, pemilik jenama besar pun ‘jual diri’ di TikTok demi memastikan jenama mereka terus relevan dan diingati,” katanya.

Selepas lebih 10 tahun membina jenama secara konsisten dalam talian melalui sistem pembangunan usahawan wanita, NOIR kini melangkah ke fasa baharu sebagai sebahagian strategi pertumbuhan jangka panjang, termasuk persediaan awal ke arah penyenaraian awam (IPO).

“Ini adalah langkah pertama kami ke arah IPO. Selepas 10 tahun, kami rasa inilah masa perniagaan ini maju ke langkah seterusnya. Online masih kekal, ejen masih aktif, tetapi sekarang masa untuk buat sesuatu yang baharu dan terus berkembang,” jelas Madammu.

Sebagai manifestasi strategi tersebut, NOIR secara rasmi melancarkan Flagship Store pertama di Pavilion Bukit Jalil, sekali gus menandakan peralihan jenama daripada platform digital sepenuhnya kepada pengalaman runcit fizikal.

Pemilihan Pavilion Bukit Jalil dibuat berdasarkan kekuatan pasaran tempatan, khususnya pengguna Melayu yang menjadi sasaran utama jenama tersebut.

“Kami bukan jenama antarabangsa. Kami mahu kuasai pasaran tempatan dulu. Bila lokal kukuh dan relevan dengan keperluan orang Malaysia, barulah jenama nampak besar di negara sendiri.

“Kewujudan kedai fizikal juga memberi tahap kepercayaan yang lebih tinggi kepada pengguna.

“Kalau tak ada kedai, kepercayaan pelanggan lebih rendah. Bila ada retail, jenama kita akan nampak lebih diyakini,” ujarnya.

Berbeza dengan kempen pemasaran jangka pendek, Madammu melihat pembukaan Flagship Store sebagai pelaburan jangka sederhana dengan risiko berbeza.

“Konsert atau acara besar mungkin impaknya satu malam, tetapi flagship ini kami rancang untuk dua tahun. Risikonya berbeza, tapi impaknya lebih berpanjangan,” katanya.

Flagship Store NOIR menawarkan pengalaman kecantikan menyeluruh termasuk konsultasi kulit, analisis rutin penjagaan, demonstrasi produk, pelancaran eksklusif serta aktiviti komuniti.

Sementara itu, Madammu menyifatkan  kejayaan sebenar tidak hanya diukur melalui populariti, sebaliknya melalui angka yang mampu mengubah kehidupan.

“Saya kejar angka kerana angka adalah impak. Bila ada angka, kita boleh ubah kehidupan orang lain. Ada agen yang dulu gaji RM1,000 hingga RM2,000, hari ini jualan mereka mencecah jutaan ringgit. Itu yang beri kepuasan sebenar,” katanya.

Mengintai tahun 2026, NOIR merancang untuk memperluaskan kehadiran runcit secara berperingkat dengan mengekalkan fokus terhadap kualiti.

“Sasaran jualan kami tahun ini adalah sekitar RM30 hingga RM50 juta setahun, dan kami sasarkan RM100 juta untuk tahun hadapan,” katanya.
 

Must-Watch Video

Advertisement