Sekilas
- Bekas anggota Dolla, Syasya Rizal, menjelaskan bahawa keputusan berkahwin dan fokus kepada keluarga pada usia 20-an adalah impian yang telah lama disimpan dan bukan sesuatu yang dipaksa.
- Syasya menegaskan setiap wanita mempunyai definisi kebahagiaan berbeza dan memilih untuk menghargai fasa kehidupan sebagai isteri dan ibu tanpa rasa menyesal.
- Perkongsian Syasya mendapat sokongan ramai yang memuji kematangannya dalam menghadapi pandangan berbeza mengenai kehidupan peribadi.
Bekas anggota kumpulan Dolla, Syasya Rizal tampil menjawab pandangan segelintir pihak yang beranggapan dirinya membazirkan usia muda apabila memilih untuk berkahwin dan memberi tumpuan kepada keluarga pada usia 20-an.
Menurut Syasya, keputusan yang dibuat bukanlah sesuatu yang dipaksa atau disesali, sebaliknya merupakan impian yang telah lama disimpan dalam hati.
Katanya, setiap wanita mempunyai perjalanan hidup dan definisi kebahagiaan yang berbeza, justeru beliau percaya setiap pilihan wajar dihormati.
"Menjadi isteri dan ibu adalah impian saya sejak dahulu lagi. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa yang saya simpan dalam diam.
"Saya tahu mungkin ada yang merasakan usia 20-an adalah masa untuk mengejar kerjaya, melancong atau mencuba pelbagai perkara baharu. Tetapi bagi saya, memiliki keluarga sendiri juga adalah satu pencapaian dan kebahagiaan," katanya.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu turut mengakui tidak pernah menyesali keputusan yang dibuat meskipun kehidupannya kini jauh berbeza berbanding ketika aktif dalam dunia hiburan.
Sebaliknya, Syasya bersyukur kerana dikurniakan peluang merasai pengalaman berharga sebagai seorang ibu pada usia muda.
Tambahnya lagi, beliau menghargai setiap fasa kehidupan yang dilalui dan percaya setiap individu mempunyai rezeki serta aturan hidup yang berbeza.
"Saya tidak melihatnya sebagai sesuatu yang saya korbankan atau bazirkan. Saya gembira dengan pilihan yang saya buat dan bersyukur dengan kehidupan yang Allah aturkan.
"Apa yang penting, kita saling mendoakan dan menghormati pilihan hidup masing-masing," ujarnya.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai yang tampil memberikan kata-kata positif selain memuji kematangan Syasya dalam berdepan pandangan berbeza mengenai kehidupan peribadinya.
Untuk rekod, Syasya mendirikan rumah tangga bersama suaminya pada April tahun lalu sebelum dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.