Sekilas
- Ustaz Irfan Rizki dijemput sebagai penceramah istimewa dalam program Cahaya Hati 2.0 yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Beliau menghargai pendekatan penganjur yang selari dengan nilai dan pandangannya serta merasakan hubungan kekeluargaan yang kuat sejak pertemuan pertama di Sabah.
- Pengerusi One World Muslimah, Noor Razlina Noor Mohamed, memuji gaya penyampaian Ustaz Irfan yang ringkas, padat, dan mudah difahami melalui media sosial seperti TikTok.
Pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Irfan Rizki bersyukur apabila dijemput sebagai penceramah istimewa bagi program Cahaya Hati 2.0: Dari Luka Temui Cahaya, Dari Hati Menuju Syurga yang berlangsung baru-baru ini.
Kali pertama lakukan ceramah di Semenanjung, Ustaz Irfan berkata dia menerima jemputan itu kerana pendekatan yang diambil oleh pihak penganjur sangat selari dengan nilai dan pandangannya.
“Sejak awal bertemu di Kundasang, Sabah, mereka sangat rendah diri dan sifat kekeluargaannya juga sangat kuat.
“Kami juga sangat mengenali. Mereka membuatkan saya mempunyai keluarga di sini. Tugas saya hanya menyampaikan ilmu di media sosial.
“Kalau video kita diterima ramai ia bukan kerana kita yang hebat tetapi Allah yang membukakan hati mereka untuk belajar,” katanya kepada Gempak.
Ustaz Irfan berkata demikian ketika ditemui pada majlis ilmu, Cahaya Hati 2.0: Dari Luka Temui Cahaya, Dari Hati Menuju Syurga di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi One World Muslimah (OWM), Noor Razlina Noor Mohamed berkata dia berpuas hati dengan pemilihan Ustaz Irfan sebagai penceramah jemputan untuk programnya kali ini.
“Saya merupakan peminat Ustaz Irfan. Saya juga mengikut ustaz di media sosial di TikTok sebab ustaz sangat aktif di platform tersebut.
“Apa yang saya suka adalah dengan intonasi suara dan gaya ustaz dalam menyampaikan ilmu, di mana ia sangat ringkas, padat tepat pendek, lunak dan sedap,” ujarnya.
Untuk makluman, program Cahaya Hati: 2.0 dengan tema ‘Dari Luka Menuju Cahaya, Dari Hati Menuju Syurga’ merupakan satu majlis ilmu yang dianjurkan oleh OWM.
Razlina menyifatkan program tersebut bukan sekadar pengisian ia juga adalah pelukan buat jiwa yang penat dan cahaya hati buat yang sedang mencari.